Ugut lempar mercun bola kepada PM, pemuda terima padah direman 3 hari
Polis menahan seorang lelaki semalam selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada 10.30 malam di pekarangan Balai Polis Binjai di sini, susulan satu laporan polis yang diterima.
Memetik Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kira-kira 12 tengah hari semalam, polis Kontinjen Kelantan mengesan ciapan yang memaparkan tangkap layar individu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan ‘boleh pasang nanti bang Non Mai Klate, kasi ajar sikit’ sambil memegang mercun bola.
Katanya, ciapan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Mat Sekilau/Membalak@apanakdikato.
“Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hasil pemerhatian mendapati sumber asal posting dimuat naik oleh suspek di TikTok @najibnafi99, walau bagaimanapun semakan mendapati video itu sudah dipadam.
“Bertindak atas laporan polis yang diterima, tangkapan dibuat ke atas suspek,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari yang bermula hari ini sehingga 30 April ini untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.