Ulang tahun pertama Kerajaan Madani : Tengku Zafrul umum ganjaran istimewa buat rakyat Malaysia

Ulang tahun pertama Kerajaan Madani : Tengku Zafrul umum ganjaran istimewa buat rakyat Malaysia

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI membuka tirai di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini menjadi platform terbaik bagi rakyat Malaysia untuk melihat sendiri kad laporan kerajaan bagi tempoh setahun.

Program berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini bertujuan menyebar luas dan mempromosi dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentabiran negara pada 24 Nov 2022.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan ganjaran istimewa berupa Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang menawarkan pemberian rebat sehingga RM2,400 bagi pembelian motosikal elektrik oleh rakyat negara ini.

Memetik Berita Harian, beliau berkata skim itu terbuka kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Pada 8 Disember, kita akan melancarkan skim yang dikenali sebagai “MARIICas” yang dikelolakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Mereka yang berkelayakan akan mendapat geran tunai sebanyak RM2,400 untuk membeli motosikal elektrik,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM yang disiarkan di saluran TV1 hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skim itu dibuka kepada rakyat pada bulan ini.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dengan rebat sehingga RM2,400 bagi membantu pengguna beralih kepada motosikal elektrik.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyasarkan peningkatan lokasi pengecasan kereta elektrik (EV) selaras dengan sasaran 10,000 tempat pengecasan pada 2025.

“Dari segi perkhidmatan pengecasan di rumah, akan turut menerima insentif cukai ini,” katanya.