UMNO akan pastikan Ismail Sabri patuh arahan parti – Zahid
Selepas kecewa usaha mendapatkan persetujuan Ismail Sabri agar parlimen dibubarkan pada kadar segera tidak diendahkan, UMNO hari ini dengan nada yakin memberitahu Naib Presidennya itu akan tetap menjunjung ketetapan parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan sentimen akar umbi, majoriti sayap-sayap Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat bahagian mahukan supaya PRU15 diadakan lebih awal, demikian seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Beliau berkata, sebanyak 176 daripada 191 Pemuda UMNO bahagian bersetuju dengan usul supaya PRU15 diadakan lebih awal, begitu juga dengan Puteri UMNO bahagian dengan 171 bersetuju dengan usul tersebut.
“Parti tidak boleh membuat keputusan yang menyebabkan Yang di-Pertuan Agong memutuskan Parlimen dibubarkan atau pemerintahan sedia ada diteruskan. Keputusan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat daripada Perdana Menteri.
“Oleh kerana Perdana Menteri datang daripada UMNO, tentu Perdana Menteri akan melihat bagaimana keputusan parti. Tentu keputusan yang terbaik dibuat berdasarkan perbincangan pemimpin utama parti dan usul-usul daripada sayap dan bahagian-bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, penangguhan PRU15 terlalu lewat akan menyukarkan UMNO untuk menangani pelbagai tuduhan dan fitnah yang direka parti lawan seperti berlaku pada PRU14.
Sementara itu, beliau berkata, pimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi UMNO akan meneliti semua usul-usul dikemukakan UMNO bahagian terutama berkaitan usul mengadakan pilihan raya lebih awal serta pemilihan parti.