UMNO akan pastikan pemilik kawasan setinggan Cina dapat geran tanah di Johor

UMNO akan pastikan pemilik kawasan setinggan Cina dapat geran tanah di Johor

Kerajaan negeri Johor akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyelesaikan isu berhubung geran tanah di perkampungan Cina, di sini, dalam masa terdekat.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan isu yang telah berpanjangan lebih 30 tahun itu secara berfasa.

“Banyak kawasan setinggan di perkampungan Cina di sini, mereka telah mohon geran tapi tidak dapat, jadi ini isu legasi.

“Jadi di bawah pentadbiran saya, kami komited untuk menyelesaikannya secara berfasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina Kulai di Hotel Impiana Senai, di sini, malam tadi.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Kulai Chua Jian Boon dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Onn Hafiz menyatakan komitmen dan jaminan untuk menyelesaikan isu tersebut di bawah pentadbirannya.

“Jika percaya pada saya dan pasukan, kami akan lakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini yang telah berlarutan sejak 30 hingga 40 lepas.

“Bagi saya peluang untuk menyelesaikannya. Ini masalah yang diwarisi pentadbiran saya tetapi jika kita bekerjasama, kita akan dapat menyelesaikannya,” katanya, memetik laporan Bernama.