Umno akan tanding semua kerusi Bersatu pada PRU15

Umno akan tanding semua kerusi Bersatu pada PRU15

Umno dan Bersatu dijangka akan bersaing untuk bertanding kerusi Parlimen Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang, kata Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob.

Bagaimanapun, menurut Jazlan, Umno Kelantan tidak akan bertanding di kerusi PAS dan meminta PAS tidak memasuki kawasan mereka.

“Kita boleh terus bersama dengan PAS, tapi Umno tolak Bersatu. Maknanya kalau kerusi itu ditandingi Umno, PAS tak payah bertanding.

“Kita lawan Bersatu.

“Apa salahnya berlawan sudah berpuluh tahun Umno Kelantan berlawan, tidak ada masalah,” katanya kepada media semasa parti itu mengadakan pertemuan khas bersama ketua bahagian di ibu pejabat Umno di di Kuala Lumpur, hari ini.

Jazlan berkata demikian ketika ditanya status hubungan Umno dengan PAS di Kelantan susulan majoriti bahagian di Kelantan membuat usul memutus hubungan dengan Bersatu.

Jazlan berkata Umno Kelantan hanya meminta kerjasama dengan PAS dikaji, bukan diputuskan.

“Kita minta kaji semula bukan memutuskan (hubungan dengan PAS).

“Kalau kita sudah putus dengan Bersatu, kalau PAS masih nak Bersatu juga maka dengan sendirinya secara tidak langsungnya menolak kita atau sebaliknya,” katanya.

Sebanyak 12 daripada 14 Umno Bahagian di Kelantan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

PRU lalu PAS memenangi 37 DUN dan sembilan parlimen sementara Umno memenangi lapan DUN dan lima Parlimen.

Daripada lima parlimen dimenangi Umno, dua daripadanya beralih kepada Bersatu.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/557695