Umno dakwa pembangkang berantakan sesama sendiri
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan ketetapan pembangkang untuk menentukan sama ada menolak atau menerima Belanjawan 2021 pada bacaan ketiga sebagai cubaan menutup kelemahan sendiri.
“Ini semua bagi menutup kelemahan pembangkang semalam, maka ketua pembangkang kini terpaksa membuat percaturan politik yang membelakangi kepentingan rakyat.
“Kejadian di Dewan Rakyat semalam terbukti jelas perpecahan ketara di kalangan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) apabila tiadanya penyelarasan dalam pengundian akibat berterusan berantakan sesama sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.
Asyraf mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bahawa dia akan menentukan sokongannya terhadap Belanjawan 2021 pada bacaan ketiga.
Belanjawan 2021 diluluskan melalui undi suara di peringkat dasar, atau bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, semalam.
Ini selepas percubaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar untuk pengundian belah bahagi gagal apabila hanya disokong 13 ahli parlimen, kurang dua orang daripada sokongan minimum yang disyaratkan.
Beberapa ahli parlimen pembangkang mendedahkan Anwar di saat akhir meminta wakil rakyat PH tidak melakukan undi belah bahagi.
Anwar dalam sidang media di parlimen berkata tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Ketua Parlimen DAP Anthony Loke juga berkata terdapat bahagian dalam belanjawan yang disokong PH.
Sementara itu, mengulas tindakan beberapa anggota Parlimen Umno yang sebelum ini mengkritik Belanjawan 2021 tetapi menerimanya semalam, Asyraf berkata mereka tertakluk kepada keputusan parti.
“Anggota Parlimen Umno tertakluk kepada keputusan parti dan keputusan parti jelas menyebutkan bahawa kita menyokong Belanjawan 202 sebagaimana titah Tuanku dan membuat gesaan mengenai isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.
“Apabila dua isu ini yang merupakan apa yang disuarakan oleh Rakyat melalui Umno diambil kira, tiada alasan untuk MP Umno menolak,” katanya.
Sumber: Malaysiakini