UMNO dan Putra tuntut penjelasan, peguam keluarga Adib nafi kenyataan Zuraida, Hamzah
Peguam Aidil Khalid yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menegaskan perbicaraan membabitkan anggota bomba yang terbunuh dalam tragedi rusuhan kira-kira tiga tahun lalu itu belum berakhir.
Dia juga mengkritik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin di parlimen yang mengatakan perbicaraan bagi mencari pembunuh Muhammad Adib telah berakhir pada 23 Sept.
“Kononnya dikatakan perbicaraan Muhammad Adib berakhir Khamis lalu, itu tidak benar.
“Kes itu bukan melibatkan kes bunuh, tapi melibatkan 18 tertuduh yang antara kesalahan mereka memiliki senjata dalam perhimpunan haram. Mereka dituduh di bawah (tuduhan) yang bukan tuduhan bunuh.
“Maksudnya setakat ini pembunuh belum pernah lagi dituduh. Jadi, untuk menteri jawab dalam parlimen mengaitkan kes perbicaraan Adib itu berakhir 23 September lalu, itu tidak betul.
Pada 22 Sept lalu, Utusan Online melaporkan kenyataan Hamzah bahawa kes perbicaraan kematian Muhammad Adib berakhir pada 23 Sept, melibatkan 18 individu yang terlibat dalam rusuhan tiga tahun lalu.
Pada 25 Sept, Sinar Harian memetik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin sebagai berkata kes kematian Allahyarham ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baru.
Zuraida sebaliknya berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham.
Bagaimanapun Aidil berkata kenyataan menteri berkenaan bercanggah dengan keputusan inkues berhubung kematian Adib.
“Tidak ada tempoh had masa selagi mana pembunuh itu tidak dapat dijumpai,” katanya kepada Malaysiakini.
Umno, Putra tuntut penjelasan
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf wajdi Dusuki menggesa kerajaan memberi penjelasan yang telus dan terbuka mengenai kemajuan siasatan kes berkenaan.
“Kenyataan Zuraida ini sekali gus mengesahkan dapatan Mahkamah Koroner pada 26 September 2019 bahawa anggota bomba itu terkorban akibat perbuatan jenayah bunuh oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali berbanding dakwaan bekas peguam negara Tommy Thomas terdahulu.
“Justeru, Pemuda Umno mendesak agar kerajaan melalui menteri dalam negeri dan Jabatan Peguam Negara (AG) untuk memberikan penjelasan secara telus dan terbuka mengenai kemajuan siasatan kes yang menjadi sejarah hitam negara.
“Rakyat dan keluarga arwah berhak untuk mengetahui bagaimana siasatan yang dijalankan sebegitu lama gagal membawa suspek-suspek ke muka pengadilan,” katanya.
Katanya, Pemuda Umno kekal komited untuk menggesa kerajaan agar terus berusaha untuk mengenalpasti pesalah-pesalah jenayah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Wira Parti Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan, mempersoal dapatkan inkues Muhammad Adib yang kini bagaikan dipandang sepi.
Katanya, suara pihak yang memperjuangkan kematian Muhammad Adib kini sudah tidak kedengaran lagi.
“Apa dah jadi dengan dapatan inkues arwah Adib? Semua pemimpin kerajaan hari ini baik dari PN, Umno, PAS dan segala sekutunya hipokrit dan cakap tak serupa bikin.
“Semasa tiada jawatan terpekik terlolong minta rakyat sokong mereka, tuntut kebenaran untuk arwah Adib. Bila kuasa di tangan semua jadi pengecut dengan alasan nak jaga keharmonian kaum.
“Sewajarnya beri satu keputusan jelas dan adil. Itu yang keluarga dan seluruh rakyat Malaysia perlu tahu,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018 di Institut Jantung Negara.
Allahyarham mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Sumber – Malaysiakini