Umno dedah gerakan jatuhkan Peja bermula dua bulan lepas
Usaha mengetepikan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar Perak bermula kira-kira dua bulan lalu, kata seorang ahli parlimen Umno.
Bercakap kepada Malaysiakini, Nazri Aziz berkata, ia dimulakan selepas Ahmad Faizal melantik Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim, sebagai setiausaha politiknya tanpa berunding terlebih dulu dengan Umno.
“Itu menjadi detik penentuan kepada kami,” kata ahli parlimen Padang Rengas itu ketika dihubungi hari ini.
Aznel mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik Ahmad Faizal pada 15 Okt, hanya dua hari selepas Biro Politik Umno mengumumkan mereka sedang membuat pertimbangan untuk menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) serta menetapkan syarat-syarat baru untuk kerjasama dengan Bersatu.
Untuk rekod Ahmad Faizal merupakan timbalan presiden Bersatu. Dalam DUN Perak Umno merupakan parti yang memiliki kerusi terbanyak dengan 25 kerusi. Asalnya mereka mempunyai lebih ramai wakil namun sebahagian daripadanya melompat dan menyertai Bersatu.
Bersatu pula memiliki enam kerusi.
Sementara itu Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad mendakwa tindakan Ahmad Faizal itu tidak menghormati Umno serta semangat kerjasama dalam kalangan parti kerajaan.
Isu pelantikan Aznel turut dibangkitkan dalam perbahasan usul hari ini.
Kata Nazri, selain pelantikan setiausaha politik itu Perak juga berdepan dengan kemelut pelantikan dan pengagihan jawatan ketua kampung.
Sementara itu Nazri juga menafikan spekulasi bahawa gerakan mengetepikan Ahmad Faizal dibuat sebagai ‘balasan’ apa yang berlaku di Sabah apabila pemimpin Bersatu dilantik menjadi ketua menteri.
“Itu mengarut, penipuan. Saya ada dalam Umno Perak dan kami ada agenda sendiri, tak ada kena-mengena dengan sebarang tawar-menawar di peringkat pusat,” katanya.
Dalam DUN Sabah Umno mempunyai 14 kerusi manakala Bersatu 11. Namun dengan gabungan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dalam PN, gabungan itu menguasai 17 kerusi.
Umno memang menyasarkan jawatan ketua menteri namun akhirnya kerusi tersebut dapat kepada Bersatu.