Umno luah tak puas hati terhadap Peja, PN Perak mula bergolak

UMNO Perak mendakwa Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu membelakangi semangat muafakat dan kerjasama.

Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata, tumpuan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak diberi penekanan dengan tindakan-tindakan yang dibuat tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui bersama dan telah ditandatangani.

“Saya mendengar penjelasan YAB Menteri Besar kepada soalan pemberita baru-baru ini berkaitan dengan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, YB Dato’ Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau.
“Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila YAB Menteri Besar melantik seorang dari ahli YB dari UMNO, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran dari parti UMNO.

“Perlu saya jelaskan bahawa ketika persetujuan untuk membentuk kerajaan, ketiga-ketiga pihak – PPBM, UMNO dan PAS – telah membuat persetujuan bertulis untuk saling hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sewajarnya, pelantikan mana-mana ADUN, atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

Tegas beliau harus diingat, Kerajaan Negeri Perak hari ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman “politik yang tidak sihat”.

Katanya tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri ini akan terancam.

“Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional sudah tidak dihormati.

“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Beliau menegaskan, UMNO dan BN Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali kami bersuara.

Hakikatnya, Umno katanya mempunyai 25 ADUN, jumlah paling besar di dalam Dewan Undangan Negeri namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada PPBM.

“Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati,” kata Adun Kota Tampan itu.

Sumber : Perak Insight