Umno mahu parti terbesar mengetuai gagasan baharu antara BN, PN dan GPS

Umno mahu parti terbesar mengetuai gagasan baharu antara BN, PN dan GPS

Cadangan mewujudkan gagasan politik baharu mesti mengambil kira parti mana yang lebih besar dalam kalangan gabungan itu untuk dilantik sebagai Pengerusi Majlis Presiden.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan menggabungkan tiga parti iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sesuatu yang baik, tetapi lantikan pemimpin utama mestilah dipilih dalam kalangan parti mempunyai bilangan ahli paling ramai dan terkuat untuk mengetuai gabungan itu.

“Pengerusi Majlis Presiden (gabungan) mestilah dipilih berdasarkan parti mana yang lebih besar untuk memimpin gabungan itu.

“Tidak semestinya Perdana Menteri menjadi Pengerusi Majlis Presiden kerana tidak semua pemimpin politik semuanya terdiri dalam kalangan ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Covid-19 kepada Ibu Tunggal di Pejabat MCA Pasir Penambang di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beliau berpandangan soal politik dan kerajaan adalah sesuatu yang berbeza serta perlu diasingkan.

“Kalau dulu parti menguasai kerajaan tetapi sekarang ini parti tidak menguasai kerajaan kerana kerajaan yang ada (ditubuhkan) ini bukan berdasarkan prinsip parti.

“Kita tubuh kerajaan ini atas kerjasama gabungan ahli Parlimen dan tidak melibatkan parti,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan satu gagasan besar ditubuhkan bersama antara PN, BN dan GPS.

Beliau berkata, dengan termeterainya piagam itu, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/114461/BERITA/Politik/Parti-terkuat-mesti-pimpin-tiga-gabungan-parti-Noh