Umno pertimbang Ismail Sabri, Ku Li sebagai calon PM interim

Umno pertimbang Ismail Sabri, Ku Li sebagai calon PM interim

Sumber dalam Umno berkata, Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah kini bersaing untuk jawatan perdana menteri interim.

Beliau memberitahu FMT, terdapat dua kem yang mengetengahkan calon pilihan mereka.

“Satu pihak merasakan Tengku Razaleigh adalah pilihan lebih baik memandangkan beliau mempunyai pengalaman dan akan dihormati semua pihak,” kata sumber parti itu.

Tengku Razaleigh, 84, lebih dikenali sebagai Ku Li adalah kerabat diraja dan menjadi Ahli Parlimen sejak 1974, manakala Ismail memegang jawatan dalam kerajaan.

Sementara itu, sumber parti itu berkata, lebih ramai Ahli Parlimen Umno yang mempunyai jawatan kerajaan mungkin meletak jawatan.

“Mereka sepatutnya mengumumkan peletakan jawatan mereka tidak lama lagi.”

Terdahulu, Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula mengumumkan parti itu memutuskan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN, hanya sebulan selepas ia menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri secara rasmi.

Langkah itu menyebabkan kerajaan PN, yang sangat bergantung kepada sokongan Umno, dalam keadaan huru-hara.

Zahid dilaporkan berkata, terdapat akuan berkanun (SD) mencukupi daripada Ahli Parlimen Umno yang mengisytiharkan mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Katanya, beliau sudah menyerahkan SD itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sumber – FMT