Umno Sabah merasai duka dan pedih tak dapat Ketua Menteri – Bung

Umno Sabah merasai duka dan pedih tak dapat Ketua Menteri – Bung

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin memohon maaf kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kerana hasrat untuk mendapatkan kerusi ketua menteri Sabah tidak kesampaian.

Dalam satu kenyataan, Bung berkata sukar bagi parti itu menuntut jawatan berkenaan selepas hanya memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Saya juga memohon maaf kepada Datuk Seri presiden kerana hasrat dan cita-cita beliau dan rakan-rakan yang berkehendakkan saya atau wakil daripada Umno Sabah menjadi ketua menteri tidak kesampaian.

“Jawatan ketua menteri memang menjadi harapan Umno Sabah tetapi kami menyedari dan menginsafi dengan hanya memenangi 14 kerusi sahaja sukar kepada Umno Sabah untuk menuntut jawatan tersebut,” katanya.

Tanpa menamakan mana-mana individu, Bung berkata dia berharap kepada pihak-pihak tertentu yang ‘masih bersandiwara’ dan menyalahkan pemimpin tertentu dalam urusandi Sabah, supaya menghentikan tindakan tersebut.

“Berlaku adillah, jangan rugikan parti dengan agenda peribadi. Kita jernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi kedukaan kita dengan keputusan PRN baru- baru ini.

“Duka dan pedihnya, Umno Sabah yang merasainya. Kita undur selangkah ke belakang bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan,”katanya.

Selaku ketua Umno Sabah, Bung berkata dia akan melakukan post mortem untuk mencari sebab dan punca beberapa kerusi yang ditandingi BN mengalami kekalahan.

“Kami juga akan membuat penambahbaikan demi memastikan BN dapat merampas semula kerusi-kerusi tersebut pada PRN akan datang,” katanya yang mengucapkan penghargaan kepada seluruh jentera BN yang membantu kemenangan gabungan itu pada pilihan raya Sabtu lalu.

Jawatan ketua menteri Sabah menjadi tumpuan apabila PN dan BN dikatakan tidak mencapai kata sepakat untuk menentukan calon mereka.

Perikatan Nasional (PN) mahukan pengerusi PN Sabah, Hajiji Mohd Noor dilantik sebagai ketua menteri manakala BN pula menamakan Bung sebagai calon.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkumi PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

PN terdiri daripada Bersatu, Parti Solidariti tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP), manakala BN terdiri daripada Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA.

Gabungan itu menang 38 daripada 73 kerusi Dun, manakala Warisan Plus yang dianggotai Warisan, PH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) memperolehi 32 kerusi Dun.

Teki teki mengenai ketua menteri Sabah akhirnya terjawab apabila Hajiji mengangkat sumpah jawatan itu semalam selepas rundingan dilakukan.

Bung, bersama Presiden Star, Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PBS, Joachim Gunsalam dilantik sebagai timbalan ketua menteri.

Sumber : Malaysiakini