Umno Selangor tetap berpegang dengan dasar ‘No Anwar No DAP’
UMNO Selangor terus dengan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pendirian itu selari dengan keputusan pucuk pimpinan parti berhubung dasar ‘no Anwar no DAP’.
“UMNO Selangor akan berpegang teguh untuk menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP kerana kita akan terus memperkukuh kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Koperasi Keluarga Haji Salleh di Dewan Sungai Terap, Tanjong Karang, di sini hari ini.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terbuka dan positif mahu kerjasama antara UMNO dan Pas di Selangor terus diperkukuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Noh memberitahu, perkara itu dizahirkan sendiri semasa pertemuan beliau dengan Abdul Hadi di Parlimen pada 17 Disember lalu.
Menurutnya, Abdul Hadi juga bersetuju untuk memastikan Pas mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan terus memperkukuh MN.
“Di Selangor kita akan terus memperkukuh Muafakat Nasional, manakala di peringkat Parlimen pula kita terus mempertahankan PN,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Noh mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi di Parlimen pada 17 Disember lalu.
Noh dalam status di Facebooknya memaklumkan, tujuan pertemuan itu diadakan bagi menguatkan kerjasama Muafakat Nasional Selangor dalam gerak kerja bagi menghadapi PRU15.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/115628/BERITA/Politik/UMNO-Selangor-tolak-kerjasama-Anwar-DAP