UMNO taruh harapan dapat perkudakan Pas di Pulau Pinang

UMNO taruh harapan dapat perkudakan Pas di Pulau Pinang

UMNO Pulau Pinang masih mengharapkan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) meskipun pimpinan kedua-dua parti sudah memutuskan hubungan.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya masih mengharapkan ada solusi terbaik untuk mengembalikan kerjasama MN.

“Di Pulau Pinang ini kita lain, dengan PAS kita sangat rapat dan kemesraan itu dapat dilihat daripada ahli akar umbi sehinggalah pimpinan negeri.

“Malah sehingga sekarang UMNO dan PAS di sini masih berbincang mengenai kerjasama MN di peringkat negeri.

“Jadi kita harap pucak pimpinan UMNO dan PAS boleh pertimbang semula keputusan mereka. Kalau boleh selesai masalah ini dengan keputusan positif,” katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang pada Jumaat, lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Musa berkata sebolehnya UMNO Pulau Pinang mahu mengelak pertembungan dengan calon PAS pada PRU-15 setelah melihat impak pada PRU-14 lalu namun tetao akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan.

“Jika terpaksa menentang calon PAS juga kita akur dan menganggap ia seperti pertandingan antara sahabat dan akan mengelak kempen yang mengutuk atau membenci antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, jika berdepan dengan calon Bersatu, kita akan lawan memandangkan majoriti akar umbi UMNO menolak parti tersebut,” katanya yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang