UMNO Terengganu nafi Khairuddin calon BN di Kuala Nerus

UMNO Terengganu nafi Khairuddin calon BN di Kuala Nerus

UMNO Bahagian Kuala Nerus menafikan desas-desus bekas pemimpin Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali akan ditampilkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dr. Apli Mohd. Yusoff berkata, ia cumalah dakyah parti lawan yang cuba memecah-belahkan akar umbi BN di kawasan Parlimen berkenaan.

“Setahu saya, senarai akhir lima calon BN bagi Parlimen Kuala Nerus, tiada nama beliau (Mohd. Khairuddin).

“Calon BN (Parlimen Kuala Nerus) sudah pasti dalam kalangan ahli UMNO bahagian yang setia,” katanya ketika melancarkan jentera PRU15 BN Kuala Nerus di sini hari ini.

Apli berkata, beliau pasti kepimpinan BN pusat dan negeri juga akan memilih calon terbaik yang bukan sahaja pasti menang malah mampu menjamin keharmonian akar umbi di peringkat bahagian.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan penyokong BN terutama di Kuala Nerus agar tidak terpengaruh dengan dakyah parti lawan.

“Saya pasti dakyah-dakyah seperti ini akan bertebaran lebih banyak lagi terutama di media sosial menjelang hari pengumuman calon (Parlimen) dan pengundian PRU15,” katanya, seperti dilapor Kosmo.