UMNO terpaksa akur ‘abang besar’ jadi calon di Tangga Batu

UMNO terpaksa akur ‘abang besar’ jadi calon di Tangga Batu

Ketua Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pihaknya termasuk ketua-ketua cawangan serta pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen telah bersepakat dan menerima sebulat suara keputusan yang dibuat parti.

Menurutnya, sebagai ahli parti dan semangat kesetiaan, mereka bersedia menerima siapa sahaja yang diarahkan oleh pucuk pimpinan untuk bertanding di kawasan Parlimen berkenaan bagi memastikan kerusi itu kembali semula kepada BN.

“Kita akan bekerja keras dan pastikan kemenangan BN.

“Yang penting kita hendak kerajaan yang akan dibentuk selepas ini ialah BN yang boleh membela nasib rakyat,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di kediamannya di Baitul Tariq Klebang di sini pada lewat malam Isnin.

Ditanya sama ada ahli bahagian itu akan memboikot mahupun menutup PDM, beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri dengan tegas menjawab, perkara itu tidak akan berlaku malah jentera kawasan itu akan terus mengatur gerak kerja membantu calon MCA.

“Dalam mesyuarat tadi kita bersama 70 ketua cawangan UMNO Parlimen dan 24 PDM Parlimen Tangga Batu telah sebulat suara bekerja keras untuk pastikan kemenangan BN,” katanya.

Beliau berkata, meskipun pengundi kaum Cina di situ hanya kira-kira 24 peratus, namun yakin dengan kebijaksanaan serta kematangan pengundi akan memilih parti yang boleh menstabilkan kerajaan dan bukan melihat individu mewakili parti.

“Arahan dikeluarkan petang Isnin (untuk serah kepada MCA), dulu Parlimen ini memang diwakili MCA (sebelum persempadanan Parlimen Batu Berendam), jadi kita di Tangga Batu tidak ada masalah.

“Kita yakin rakyat Tangga Batu akan pilih BN kerana kita ada kepelbagaian bangsa yang akan dibentuk dan akan membela keseluruhan rakyat, ” katanya.

Pada PRU14, Parlimen Tangga Batu yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Rusnah Aluai setelah menewaskan calon BN, Datuk Zali Mat Yasin serta calon Pas, Zulkifli Ismail dengan majoriti 4,659 undi.

Penyandang kerusi itu turut dicalonkan semula PKR pada pilihan raya kali ini untuk mempertahankan kerusi yang dirampas daripada BN.