Umum keuntungan 24 kali ganda, Top Glove kaut laba hasil penderitaan rakyat
Membaca satu demi satu kenyataan media orang politik tanpa mengira parti sempena Hari Malaysia semalam, terasa ada satu lompong yang entahlah sengaja diabai atau memang tak nampak.
Masing-masing sibuk nasihat jangan perkauman. Klise sangat. Bosanlah. Padahal, semua kita tahu, masalah perkauman “wujud” menjelang setiap kali musim pilihan raya, dipukul canang oleh orang politik juga dan semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan saja. 🤣
Iklan Hari Malaysia dan berita TV pun apabila bercakap pasal perpaduan sibuk cakap berbilang bahasa, tonjolkan bahasa bukan bahasa kebangsaan sampai buat eksperimen sosial oh rakyat berbilang kaum saling membantu di stesen LRT. Benda itu nilai sejagat kot. Entahlah.
Ya. Faham pasal meraikan kepelbagaian bahasa. Malah, sejarah ketamadunan Melayu berabad-abad dulu menyaksikan wilayah Dunia Melayu ini paling terbuka menerima segala macam budaya dan bahasa dengan tingginya nilai toleransi dan bersikap berlapang dada. Kau kalau pergi ke Beijing, jangan terkejut, peniaga di sana yang lokasinya bukan tumpuan pelancong Malaysia berkeras cakap bahasa dia sendiri.
Dalam konteks abad ke-21 ini, bercakap tentang dunia Revolusi Industri 4.0 dengan automasi semakin menggantikan tenaga buruh dan terkini ancaman pandemik yang dah jadi endemik, sepatutnya naratif makna mengisi Hari Malaysia itu patut diangkat kepada kesedaran kelas.
Apabila satu pihak cuba menormalisasikan benda tak betul apabila sibuk mengajar makna menjadi bangsa Malaysia dengan menonjolkan bahasa rasmi negara lain, masih memeluk erat sistem sekolah vernakular hingga gagal menguasai “bahasa Malaysia” tanah tumpahnya darahnya sendiri dan menolak sistem sekolah kebangsaan, dah jelas itu lebih didorong kesedaran kaum mengatasi kesedaran nasional yang kolektif sebagai bangsa Malaysia.
Padahal, apa patut kita semua sedar tanpa mengira kaum dan agama ialah kesedaran kelas. Orang terlebih kaya tapi dikenakan cukai relatif rendah berbanding berbilion nilai kekayaan mereka ini melangkaui kaum dan agama.
Elit ekonomi yang bersekongkol dengan elit politik dan elit birokrat ini seronok menikmati kemewahan dengan membiarkan rakyat di bawah ini saling prejudis, enggan bergaul antara satu sama lain bermula di bangku sekolah rendah dan bercakap benda remeh – termasuk makan di kedai mamak sebagai indikator perpaduan. Entah apa-apa.
Elit politik pula tidak rakyat tekan sungguh-sungguh untuk menggubal polisi ekonomi dan sosial yang menjaga kepentingan rakyat marhaen dan kemakmuran tanah air.
Malah, rakyat di bawah sendiri lebih suka YB masing-masing ambil alih tugas pegawai kebajikan dan ahli majlis beri bantuan itu, ini dan tengok jalan rosak, longkang tersumbat. 🤦
Sepatutnya, rakyat memberi tekanan hebat kepada YB masing-masing untuk menggubal polisi yang adil untuk semua termasuk mengenakan cukai lebih tinggi kepada taikun, mengawal nilai hartanah, menjaga kelestarian alam sekitar, jaminan bekalan makanan dan memelihara kesejahteraan rakyat terutama golongan rentan dari warga emas, golongan usia produktif tetapi kehilangan pekerjaan, anak-anak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 hinggalah nasib si ibu tunggal dan Mak Cik Kiah yang sebelum Subuh dah bangkit uli tepung dan masak nasi lemak.
Ini tidak. Sistem cukai kita macam segan nak lebihkan kepada orang kaya. Orang kaya memang patut diamlah isu ini.
Tapi rakyat B40 dan M40 pun yang dah ramai masuk universiti masih mengitar semula naratif perpaduan rakyat Malaysia itu mesti meraikan cakap bahasa Cina ketika sebahagian masyarakat Cina tak kuasa nak belajar apa lagi membudayakan bahasa kebangsaan dan masuk sekolah kebangsaan.
Berbalik pada sistem cukai tadi. Sepatutnya, dekat nak pembentangan Belanjawan 2022 ini, ramai-ramailah kita desak, tekan, buat kempen, canangkan pentingnya kerajaan mengenakan cukai yang lebih kepada taikun, bilionaire dan golongan berlebih kaya atau T20 ketika Covid-19 masih menjajah kita.
Inovasi cukai mesti dibuat segera untuk pulihkan ekonomi negara yang dilanda Covid-19. Dalam masa sama, kerajaan terus bantu rakyat dan syarikat-syarikat kecil.
Rakyat B40 dan M40 jangan hanyut sangat dengan naratif kesedaran kaum hingga lupa musuh kita semua merentas kaum dan agama ialah sistem agihan ekonomi yang menindas serta tentunya salahguna kuasa, penyelewengan, penggubahan wang haram dan rasuah.
Mana industri yang dapat durian bahkan Musang King runtuh tu patut sangat dah kerajaan kenakan cukai tinggi.
Polisi ini penting supaya hasilnya dapat tambah pendapatan negara seterusnya agih kepada rakyat bawah yang terkesan dari Perlis sampai ke Sabah. Ini baru betul semangat menterjemah Hari Malaysia.
Keuntungan besar syarikat yang berkaitan dengan Covid-19 patut dinikmati sama rakyat bawahan. Paling tidak, kerajaan dah buat polisi, kilang itu ambil pekerja tempatan dengan kadar gaji lebih baik.
Sampai bila setiap tahun kita bercakap pasal perpaduan sempena Hari Malaysia tapi taikun-taikun terus lena kekenyangan dengan segala ‘tahi’ mereka seperti pencemaran sungai dan kemusnahan alam berterusan tapi harga rumah melambung tinggi, gaji untuk pekerja kilang dan siswazah pun masih relatif rendah?
Sumber – FB