‘Uncle’ Kentang umum tutup telefon
Aktivis terkenal, Kuan Chee Heng, 57, atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang memaklumkan dirinya positif Covid-19, lapor portal Kosmo Online.
Berita tersebut dikongsi sendiri olehnya di laman Facebook tadi, bagaimanapun beliau tidak mendedahkan bagaimana beliau dijangkiti wabak tersebut.
“Sila doakan untuk saya sembuh. Kategori 4A positif Covid-19, bubuh oksigen,” katanya di sini tadi.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebook kerja-kerja kebajikannya Uncle Kentang turut memaklumkan dia kini berada di Hospital Serdang dan telefon bimbitnya akan dimatikan selama tujuh hari.
“Maaf. Telefon saya akan tutup untuk tujuh hari, positif Covid-19 tahap empat. Sekarang di Hospital Serdang. Pejabat akan ditutup selama empat hari bermula hari ini.
“Talian hotline akan ditutup kecuali perkhidmatan ambulans. Kami juga akan tingkatkan ambulans untuk pesakit Covid-19 sebanya dua buah kerana ramai dijangkiti Covid-19,” ujarnya.
Uncle Kentang juga sempat mengingatkan orang ramai untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa memakai pelitup muka.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, orang ramai mendoakan agar Uncle Kentang cepat sembuh daripada wabak Covid-19.
“Semoga cepat sembuh Uncle dan dipermudahkan urusan,” kata Aidatul.
“Sentiasa doakan kesihatan Uncle, semoga Uncle kuat untuk melawan penyakit ini dan segera sihat. Ramai orang menanti bantuan dari Uncle,” kata Tammy.