Universiti milik MCA beri tempoh 7 hari kepada penduduk Kampung Setia Jaya tinggalkan kediaman

Universiti milik MCA beri tempoh 7 hari kepada penduduk Kampung Setia Jaya tinggalkan kediaman

Hanya tujuh hari tempoh yang diberi kepada penduduk Kampung Setia Jaya di Parlimen Wangsa Maju untuk meninggalkan rumah mereka.

Notis melalui Tetuan Shook, Lin & Bok yang diterima penduduk mulai 15 Februari lalu turut menyatakan bahawa Tunku Abdul Rahman University College (TARUC) akan memulakan prosiding mahkamah sekiranya penduduk ingkar.

Ketua AMANAH Kawasan Wangsa Maju, Datuk Sabtu Awap menegaskan tindakan itu sebagai menganiaya penduduk memandangkan tiada sebarang rundingan dan tawaran pampasan ke atas premis yang telah diduduki penduduk antaranya telah lebih 40 tahun.

Menurutnya, beberapa peneroka bandar mula menduduki Kampung Setia Jaya pada 1975 yang ketika itu dimiliki oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Permohonan penduduk untuk mendapat hakmilik tanah ini ditolak oleh pihak PTG.

“Walaubagaimanapun, pemilikan tanah di kampung ini mula bertukar kepada TARUC setelah mereka membayar premium pada tahun 2015 sedangkan sejarah membuktikan penduduk kampung ini lebih awal meneroka di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kampung Setia Jaya di Parlimen Wangsa Maju Tunku Abdul Rahman University College (TARUC)
Kampung Setia Jaya terletak di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2
Untuk rekod, TARUC merupakan institusi pengajian milik penuh parti MCA iaitu rakan gabungan kerajaan Keluarga Malaysia.

“Dengan suasana ketibaan bulan Ramadan yang kian hampir, dimanakah penduduk ini akan mencari tempat perlindungan dalam tempoh hari sepertimana dicatat dalam notis yang diserahkan?” soalnya.

Sehubungan itu, Sabtu menyifatkan kerajaan gagal bersikap lebih berperikemanusiaan terhadap rakyat sendiri.

Tegasnya, pihak kerajaan wajib membentuk prosedur yang jelas untuk memastikan agenda pembangunan diuruskan dengan cara manusiawi.

“Kerajaan Keluarga Malaysia yang ditunjangi Umno dengan didokong kuat oleh Bersat dan PAS serta ditongkat MCA dan MIC dilihat gagal menunjukan rasa kemanusian terhadap rakyat warganegara sendiri dalam kes ini.

“AMANAH Kawasan Wangsa Maju sekali lagi ingin mendesak agar sebarang tindakan yang menjurus kepada pengusiran penduduk Kampung Setia Jaya segera dihentikan,” katanya lagi.

Sumber – MalaysiaDateline