Untuk berlaku adil, pembangkang desak kerajaan turut siasat kematian Beng Hock dan Altanyunya

Untuk berlaku adil, pembangkang desak kerajaan turut siasat kematian Beng Hock dan Altanyunya

Jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim perlu menyiasat dua lagi kes kematian misteri.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri daripada DAP, Lim Kit Siang berkata, pasukan berkenaan perlu menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan Altantuya Shaariibuu bagi mengelakkan kerajaan mengamalkan amalan dua darjat.

“Kita tidak boleh biarkan sesiapa pun mempunyai sebarang keraguan mengenai nilai kehidupan manusia di Malaysia.

“Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat semalam, Mohamad Hamdan Wahid, perlu ada mesej yang jelas kepada orang awam yang keselamatan penjawat awam, terutamanya petugas barisan hadapan, adalah salah satu keutamaan kerajaan.

“Dan perlu ada mesej jelas bahawa tiada agensi kerajaan atau mana-mana orang kenamaan yang boleh mengecilkan nyawa manusia di negara ini dan bahawa Malaysia memandang serius perkara berkenaan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyatakan gesaan sama supaya kerajaan melalui jawatankuasa dan pasukan khas berkenaan menyiasat tiga kes penting yang tertangguh sebelum ini.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dan dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Dis tahun sama.

Untuk rekod, Teoh Beng Hock dilaporkan meninggal dunia secara misteri di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Altantuya pula merupakan wanita warganegara Mongolia yang dilaporkan hilang oleh sepupunya pada 19 Oktober 2006 ketika melawat Malaysia dan turut dilaporkan mayatnya ditemui selepas diletupkan di kawasan hutan di Puncak Alam.

Sumber – UTUSAN ONLINE