Upin Ipin berjaya kutip lebih RM70 juta walaupun tiada filem baru

Saluran YouTube Les’ Copaque yang menyajikan video-video siri animasi Upin & Ipin dilaporkan muncul sebagai saluran yang berjaya menjana pendapatan tertinggi di negara ini.
Menurut laporan Kosmo, senarai yang diterbitkan oleh CashNetUSA itu menyatakan saluran tersebut telah menerima pendapatan sebanyak $16.73 juta (RM71 juta) setakat ini.
Ini sekali gus menjadikan Les’ Copaque, syarikat animasi tempatan yang ditubuhkan pada bulan Disember 2005 antara lima saluran paling menguntungkan di Asia Pasifik.
Selain Upin & Ipin, rancangan kanak-kanak Didi & Friends juga dilaporkan turut berjaya menjana pendapatan lumayan iaitu $10.56 juta (RM45 juta) setakat ini.
Berdasarkan laporan Saving Spot, ketika ini saluran YouTube paling menguntungkan adalah kandungan yang menyasarkan golongan kanak-kanak.