Ustaz bertauliah akan dihantar untuk bimbing komuniti Bajau Laut yang diislamkan Ebit Liew
Kerajaan akan menghantar ustaz bertauliah dan berkaliber ke Sabah bagi membimbing komuniti Bajau Laut yang baru mengucap dua kalimah syahadah diajarkan aktivis serta pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary, berkata kerajaan memang sentiasa memberi bantuan dan bimbingan setiap kali ada pihak yang baru memeluk Islam.
“Setiap kali adanya orang masuk Islam, kita akan hantar penggerak ataupun petugas dakwah untuk kita bimbing, contohnya (untuk) masyarakat Orang Asli.
“Kita ada penggerak iaitu ustaz bertauliah dan berkaliber untuk terus berada dengan kelompok berkenaan (untuk memberikan bimbingan), termasuk juga di Sabah, penduduk Bajau Laut itu.
“Kerajaan akan bantu dari aspek bimbingan keagamaan untuk memahami secara mendalam berhubung Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Hospital Tumpat, Kelantan, hari ini.
Ahli parlimen Pengkalan Chepa itu berkata demikian sebagai mengulas pengislaman lebih 150 orang penduduk Bajau Laut di Semporna, Sabah semalam.
Ia diketahui ramai selepas Lew menceritakan pengalamannya di situ.
“Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini.
“Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam. Mereka tiada kepercayaan agama. Dari suku Bajau Laut Semporna Sabah atau digelar gipsi laut.
“Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut,” katanya di media sosial. Turut disertakan klip video dia mengucapkan kalimah syahadah dan diikuti penduduk Bajau Laut terbabit.
Risiko kematian tinggi
Tambah Lew, ketika berada di Semporna Sabah pada awalnya, dia ditanya oleh beberapa penduduk berhubung kewujudan Tuhan.
Sebak dengan pertanyaan itu, Lew berkata, melalui bantuan penterjamah dia bertanya sama ada penduduk terbabit pernah menjelaskan apa-apa hal berkaitan agama.
“Mereka jawab: tiada, kami tak tahu. Tolong bagitahu kami.
“Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi. Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah,” ceritanya.
Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, Lew giat menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar agama atau bangsa.
Dia kini berada di Sabah untuk tempoh 10 hari bagi menjalankan misi bantuan di negeri bawah bayu itu.
“Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau Laut kumpulan manusia tanpa negara.
“Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun,” ceritanya.
Lew juga berkata dia berhasrat untuk membina sekolah bagi kegunaan kanak-kana di kampung berkenaan sambil terus menghulurkan bantuan makanan.
Untuk membolehkan rancangan membina sekolah itu menjadi kenyataan Lew memerlukan tenaga pengajar untuk berkhidmat dan akan dibayar gaji.
“Ya Allah bantulah mudahkanlah diriku untuk pastikan anak-anak ini menjadi manusia berguna,” katanya. – MK