Ustaz Dusuki kalah saman fitnah terhadap Dr Mujahid isu Tabung Haji

Ustaz Dusuki kalah saman fitnah terhadap Dr Mujahid isu Tabung Haji

 

DAKWAAN KONONNYA TH JUAL HOTEL KEPADA BUKAN ISLAM: MAHKAMAH TINGGI TOLAK RAYUAN DUSUKI. DIPERINTAHKAN BAYAR RM7000 KEPADA MUJAHID.

1. Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini telah menolak rayuan Dusuki Rani berhubung dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang telah menolak Saman Fitnah yang difailkannya terhadap anakguam saya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 September, 2022 telah menolak Saman Fitnah Dusuki terhadap Mujahid tersebut dengan kos RM11,000.00.

2. Saman tersebut difailkan berhubung dengan ciapan/tweet Mujahid terhadap Dusuki pada 22.11.2020 yang berbunyi:

“Seorang Ustaz berdusta, berpuloh ribu jadi mangsa…berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri…hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya…Allahu Mustaan…”

3. Hakim Mahkamah Sesyen di dalam Keputusannya pada 14 September 2022 yang lalu telah menyatakan:

” Pernyataan dalam twitter itu bukan merupakan suatu fitnah kerana daripada keterangan semasa perbicaraan telah terbukti bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan islam”

4. Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Khadijah binti Idris dalam keputusannya hari ini dalam menolak rayuan Dusuki telah memberikan alasan ringkas, antaranya seperti berikut:

i. Mahkamah mendapati Defendan telah, atas imbangan kebarangkalian membuktikan bahawa Kenyataan yang Dipertikaikan (KYD) tersebut mempunyai justifikasi. Keterangan menunjukkan KYD itu yang merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan Plaintif yang disiarkan di youtube pada 20/2/2020 bahawa Tabung Haji (TH) telah menjual asset yang terdiri dari hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.

ii. Keterangan juga menunjukkan terdapat penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh mantan Perdana Menteri (terhadap soalan dikemukakan Defendan) bahawa asset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan bahawa TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam. Pemindahan tersebut adalah sebahagian dari pelaksanaan di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yg diluluskan oleh Kabinet sewaktu Defendan menjadi Menteri Agama di JPM.

iii. Terdapat juga keterangan bahawa Plaintif sendiri setuju bahawa hotel TH tidak dijual kepada orang bukan Islam. KYD tersebut adalah suatu tindak balas Defendan terhadap kenyataan Plaintif sendiri yang mengatakan hotel TH telah dijual kpd orang bukan Islam.

5. Mahkamah Tinggi hari ini seterusnya turut memerintahkan Dusuki membayar kos RM7,000.00 kepada Mujahid.

Sekian.

Noorazmir bin Zakaria
Peguambela & Peguamcara
Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir
2 Mei, 2023