Ustaz Dusuki mengaku kalah, tarik balik rayuan saman terhadap Mujahid, lepas tu mahkamah suruh bayar RM5 ribu

Ustaz Dusuki mengaku kalah, tarik balik rayuan saman terhadap Mujahid, lepas tu mahkamah suruh bayar RM5 ribu

 

Dusuki Rani Telah Menarik Balik Rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Diperintahkan Bayar Kos Rayuan RM5,000.00.

1. Alhamdulillah.Saya hari ini 28.8.2023 telah dihubungi oleh Peguam saya, Tuan Noorazmir Zakaria, bahawa Dusuki Rani telah menarik balik rayuannya terhadap saya di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

2. Rayuan Dusuki Rani itu berhubung dengan Saman Fitnah yang difailkannya terhadap saya berhubung dengan isu di sebalik penjualan aset Tabung Haji dan berkaitan ciapan saya berbunyi “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

3. Mahkamah Sesyen Shah Alam telah pun menolak Saman Fitnah tersebut dengan kos RM11,000.00. Dusuki yang tidak berpuas hati telah merayu ke Mahkamah Tinggi di mana Mahkamah Tinggi kemudiannya telah menolak rayuan tersebut dengan kos RM7,000.00.

4. Dusuki yang masih tidak berpuas hati telah merayu pula ke Mahkamah Rayuan Putrajaya. Kini, beliau telah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya tersebut.

5. Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak PAS sejak sekian lama; khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam.

6. Ketika Mahkamah Sesyen menolak Saman Dusuki terhadap saya, Mahkamah Sesyen telah mengesahkan bahawa aset Tabung Haji TIDAK dijual kepada orang bukan Islam.

7. Di peringkat Mahkamah Tinggi pula, Mahkamah Tinggi ketika menolak rayuan Dusuki sekali lagi telah mengesahkan bahawa:

a) ciapan saya itu mempunyai justifikasi kerana ia merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan Dusuki yang disiarkan di YouYube pada 20.2.2020 bahawa Tabung Haji telah menjual aset yang terdiri daripada hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.

b) terdapat penjelasan yang dibuat di parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

c) TH TIDAK dikuasai oleh orang bukan Islam.

8. Kini, dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuannya itu, membuktikan Dusuki akhirnya telah akur bahawa aset Tabung Haji TIDAK dijual kepada orang bukan Islam.

9. Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Dusuki kepada saya ialah berjumlah RM23,000.00 iaitu merangkumi kos RM11,000.00 di Mahkamah Sesyen, RM7,000.00 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000.00 di Mahkamah Rayuan.

10. Saya bersyukur kerana akhirnya nama saya telah dibersihkan dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada Peguam saya Tuan Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir. Semoga dengan ini, semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji ini berakhir.

Sekian, terima kasih.

Mujahid Yusof Rawa