Ustaz Jakim disiasat kutuk Kerajaan Perpaduan ketika kuliah Subuh, siap nyanyi lagu Altimet

Ustaz Jakim disiasat kutuk Kerajaan Perpaduan ketika kuliah Subuh, siap nyanyi lagu Altimet

 

TINDAKAN seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengutuk Kerajaan Perpaduan ketika menyampaikan kuliah Subuh mengundang kemarahan orang ramai.

Menerusi video tular yang tersebar, kuliah itu dipercayai disampaikan pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan pada 2 Januari lalu di Masjid Kampung Jenjarom, Selangor.

Kandungan ceramah itu antara lain turut menyentuh perihal lagu berjudul Aduh Malaysia dengan lirik hoi, hoi ya hoi nyanyian Altimet yang dijadikan senjata politik sebuah parti sebelum pilihan raya umum lalu.

“Ada orang mulut dia belum apa-apa lagi… penyamun, penyangak. Siap buat lagu la… hoi hoi ya hoi. Siap buat lagu.

“Eh eh, lepas tu dia pula bercium. Lepas tu kita pula nak ikut perangai dia, jangan tuan-tuan. Jangan ikut. Biar mahkamah tentukan bukan kerja kita. Kita jangan ikut perangai orang buruk akhlak.Itu bukan urusan kita, itu antara dia dengan Allah.

“Asal berkumpul je menyanyi. Lepas tu dia pula bercium dengan kawan tu. Tak betul tu,” ujar pegawai itu.

Video yang tersebar di Twitter mengundang pelbagai kecaman netizen termasuklah yang kurang senang apabila isu politik dibawa ke dalam masjid.

komen

“Boleh ke berpolitik dalam masjid? Dia ni ada tauliah ke untuk bagi kuliah di masjid dalam Selangor? Apa tindakan selanjutnya?

“Apa berpolitik dalam masjid ni? Kena beri pengajaran supaya lebai ni kenal erti penyesalan.

“Nak main politik jangan guna pentas masjid. Letak jawatan masuk parti lebai yang bawa fast track ke syurga,” tulis beberapa netizen.

Dalam pada itu, pihak Jakim menerusi Twitter @MyJAKIM turut memberi respons berhubung isu tersebut dan mendedahkan sudah mengambil tindakan ke atas pegawai terlibat.

“Pihak Pengurusan Tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai Jakim yang mengundang kemarahan netizen.

“Jakim memanggil pegawai tersebut untuk siasatan lanjut bagi memulakan prosiding tatatertib dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam,” ciap Jakim menerusi Twitter.