Usul undi tidak percaya, Muhyiddin tidak perlu gusar ketaatan Art Harun terhadapnya

Usul undi tidak percaya, Muhyiddin tidak perlu gusar ketaatan Art Harun terhadapnya

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, usul undi tidak percaya tidak akan berlaku ketika Parlimen mula bersidang sebaik perintah darurat ditamatkan.

Beliau berkata, seperti tertulis dalam titah Yang di-Pertuan Agong minggu lepas, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara akan perlu dibahas dan diluluskan sebaik sahaja Parlimen bersambung.

“Ramai yang salah faham bahawa undi tidak percaya akan berlaku sekiranya Parlimen bersambung.

“Tidak. Usul undi tidak percaya tidak akan berlaku selagi Speaker Parlimen tak benarkan usul tersebut dibahas,” katanya di Facebook.

Najib berkata, walaupun Speaker terima semua usul tersebut tapi tiada satu usul pernah dibenarkan Speaker untuk dibentang.

Sebab itu katanya, soal undi tidak percaya tidak timbul apabila Parlimen sambung bersidang sebab Speaker Parlimen yang dilantik Perikatan Nasional (PN) tidak akan membenarkan.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya mengumumkan Ahli Parlimen Umno dan BN bersetuju Parlimen bersidang semula seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau apa-apa pindaan bersesuaian.

Namun katanya, mereka mahu sidang Parlimen itu hanya tumpu kepada isu rakyat mendepani wabak.

“Kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, tindakan mengenakan syarat mengenai isu yang boleh dibahaskan di Parlimen sebagai “tidak demokratik” dan bercanggah dengan kebebasan berparlimen.

“Semasa persidangan Parlimen, apa jua perkara boleh dibahaskan tetapi mestilah sesuai dengan peraturan mesyuarat,” katanya.