Usung jenazah turun tangga gara-gara lif rosak, penghuni PA Seri Perak kecewa dengan Menteri WP
Penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perak, Bandar Baru Sentul di sini risau dengan kemudahan lif yang uzur dan acapkali berdepan kerosakan yang menyusahkan penduduk.
Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette mengadu tentang lif yang sering tergendala dan rosak sehingga penduduk sukar untuk bergerak untuk melakukan urusan harian.
Ada yang terpaksa menggunakan tangga walaupun tinggal di tingkat 17.
Ketua Blok 29 PA Seri Awam, Khairol Faddil berkata, sepanjang menetap selama 29 tahun, masalah kerosakan lif kali ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang kerja baik pulih yang mampu mengekalkannya terus efisien.
Jelasnya, apabila pihak mereka membuat aduan kepada pihak penyelenggaraan untuk membaiki lif, dalam lebih kurang setengah jam lif tersebut akan kembali kepada keadaan asal.
Namun ia rosak semula kerana lif sudah usang dan dimamah usia.
“Maintenance lambat.. bila dia repair, dia ambil spare part dari tingkat lain dan ganti di tingkat yang rosak. Bila sudah baiki, dalam setengah jam rosak balik.
“Saya tak tahu apa mereka buat? Bangunan ni dah 30 tahun.., lif jenama Fujitech ini pun barang old school, patutnya sudah kena tukar baharu” katanya apabila ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Katanya, pada Februari lalu, rungutan mengenai lif sahaja sudah mencecah 12 aduan namun penduduk terpaksa berdepan masalah sama.
Malah ada sahabatnya yang kehilangan nyawa pada 1993 kerana tersepit pada pintu lif di Blok 33 PA Seri Perak.
“Pernah ada kes kematian pasal sangkut, jangan cakaplah.. Blok 29 pecah rekod paling banyak kes kerosakan lif. Kalau ada jenazah pun kita terpaksa angkat pakai kain, memang tak lepas nak bawa keranda masuk dalam lif.
“Macam mana pula dengan bangsa-bangsa lain yang perlu menggunakan keranda? Meraka terpaksa tegakkan keranda di dalam lif” ujarnya.