Uzbekistan mahu jadikan skuad Malaysia B-23 ‘lauk’

Uzbekistan mahu jadikan skuad Malaysia B-23 ‘lauk’

 

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara bakal berdepan tentangan sengit pada aksi pertama di Piala Asia B-23 selepas Uzbekistan turun dengan semangat menggunung bagi edisi di Qatar, kali ini.

Uzbekistan yang juga juara edisi 2018 itu jelas bernafsu besar apabila menyasarkan pingat serta slot ke Sukan Olimpik 2024 dan mereka percaya ini masanya untuk mereka mencipta sejarah ke temasya berprestij itu buat kali pertama.

Jurulatihnya, Timur Kapadze menegaskan kekecewaan pada edisi lalu menyaksikan mereka terlepas slot ke Sukan Olimpik 2020 apabila tewas pada aksi ‘play-off’ menentang Australia, menjadi motivasi terbaik bagi mengharungi kempen di Qatar.

Jelas Kapadze yang membawa Uzbekistan mara ke final edisi 2022, persiapan yang mantap sudah dilakukan justeru dia mengharapkan anak buahnya dapat memberi saingan terbaik dalam misi ke Paris, Julai depan.

“Kita menjalani persiapan yang terbaik dan semua yang diperlukan untuk bersaing di Piala Asia 2023 sudah dipenuhi.

“Hanya pemain yang mencapai kemuncak prestasi sahaja dipilih untuk membawa cabaran negara, jadi saya mengharapkan semua pemain menggunakan peluang ini untuk membantu pasukan mendapat slot ke Sukan Olimpik Paris.

“Kita bukan setakat mahu layak ke Paris tetapi juga mahu pulang dengan pingat,” katanya menerusi laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sebagai rekod, Uzbekistan akan membuka kempen Piala Asia B-23 2024 berdepan Malaysia, Rabu ini disusuli Kuwait pada 20 April sebelum berdepan pasukan yang ditewaskan mereka pada edisi 2018 di China, Vietnam pada 23 April.

Tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.