[Video] Cabul pelancong China, pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis

[Video] Cabul pelancong China, pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis

Seorang pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China ketika melakukan aktiviti selaman di perairan Semporna, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 12.50 tengah malam Ahad di sebuah tempat penginapan selepas laporan polis diterima daripada mangsa pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Asisten Superintenden Arif Abdul Razak berkata, kejadian berlaku pada Jumaat ketika mangsa berusia 25 tahun melakukan aktiviti selam skuba.

“Laporan diterima oleh mangsa yang mengatakan bahawa pada kira-kira jam 1 petang Jumaat dia telah dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan sebuah pulau peranginan di daerah ini.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis pada keesokan harinya sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Tawau untuk berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asalnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan daripada laporan itu, tangkapan segera dilakukan terhadap suspek dalam kes ini.

“Suspek adalah warga tempatan yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba dengan sebuah pusat selaman skuba.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan reman telah dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa perkongsian gambar termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam skuba.

 

Selain itu, turut dikongsikan tangkap layar perbualan suspek dengan mangsa berserta laporan polis.