[VIDEO] Isu ratusan warga asing bersolat raya, polis tahan 49 lelaki untuk siasatan

[VIDEO] Isu ratusan warga asing bersolat raya, polis tahan 49 lelaki untuk siasatan

Polis menahan reman 49 lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kerana menjalankan solat sunat Aidiladha melebihi jumlah yang dibenarkan, di atas jalan berhampiran Surau Taman Pelangi, Juru semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Hasliza Razak, di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi tadi.

Reman empat hari dikeluarkan ke atas 48 warga Bangladesh masing-masing berusia diantara 20 hingga 43 tahun manakala lelaki tempatan berusia 64 tahun direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 23 Julai.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Terdahulu, kumpulan lelaki itu dibawa ke mahkamah dengan tiga buah trak polis diiringi polis pada jam 10.10 pagi.

Mereka ditahan di kawasan perumahan di Taman Pelangi semalam sejurus polis menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Pada Selasa, media melaporkan polis mengesan lebih 200 warga asing yang melanggar SOP dengan menjadi makmum solat sunat Aidiladha dari luar surau, iaitu di atas jalan di kawasan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, kumpulan itu didapati berbuat demikian selepas pengurusan surau tidak membenarkan mereka solat di dalam surau berikutan melebihi had ditetapkan.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 22 saat memaparkan kumpulan lebih 200 warga asing melakukan solat sunat Aidiladha di atas jalan raya di Taman Pelangi.

Menurut Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebelum ini, solat sunat Aidiladha hanya dibenar dilakukan di masjid negeri dan daerah dengan kapasiti 150 orang, masjid kariah (100) serta surau (50).

Sumber – AstroAwani