Video kejadian tanah runtuh di Ampang

Video kejadian tanah runtuh di Ampang

Seorang wanita warga emas yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang di sini berjaya dibawa keluar namun dia disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, warga emas berkenaan berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian pada pukul 9.10 malam.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mangsa merupakan isteri kepada mangsa pertama yang berjaya diselamatkan petang tadi,” ujarnya pada sidang akhbar di lokasi kejadian sebentar tadi.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih dipercayai tertimbus.

Keseluruhan mangsa setakat ini adalah lima orang.

“Pasukan penyelamat akan meneruskan misi pencarian. Selagi tidak hujan dan tidak berlakunya pergerakan tanah, kita teruskan.

“Kalau berlaku pergerakan tanah yang besar dan hujan barulah kita akan berhenti untuk kerja-kerja menyelamat,” katanya, seperti dilaporkan portal Kosmo Online.

Terdahulu, dalam kejadian petang tadi, kira-kira 15 buah rumah mengalami kerosakan selepas berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di sini.

Dua daripada kediaman berkenaan tertimbus dan terdapat empat mangsa dilaporkan hilang.

Salah seorang mangsa yang juga lelaki warga emas berusia 85 tahun berjaya diselamatkan pada pukul 6.54 petang tadi.


I

I

I