[VIDEO] Kes kedua libatkan ambulan ditahan polis beri laluan kepada VVIP

[VIDEO] Kes kedua libatkan ambulan ditahan polis beri laluan kepada VVIP

Isu ambulan ditahan bagi memberi laluan kepada VVIP kembali bergema di media sosial. Ini selepas pengguna media sosial menaikkan video kejadian kedua melibatkan perkara yang sama berlaku dalam tempoh seminggu.

Kejadian pertama yang dilaporkan pada 27 Disember 2021 itu bagaimanapun telah dijelaskan oleh pihak polis seperti yang diterbitkan akhbar Utusan Online.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superitenden Azman Shari’at berkata, konvoi itu tiba dahulu di persimpangan jalan dan hampir dengan sebuah pacuan empat roda milik Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) serta ambulans berkenaan.

“Semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti membawa pesakit.

“Anggota bertugas di persimpangan berkenaan telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan dua kenderaan tersebut dalam tempoh singkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun peristiwa terbaru menunjukkan ambulan sedang mendahului kenderaan VVIP tersebut di laluan utama.

Insiden terbaru ini telah menerima kecaman hebat dari pengguna media sosial, sambil menyifatkan VVIP seharusnya bersedia memberikan kerjasama kepada petugas keselamatan yang memerlukan laluan segera bagi misi menyelamat seperti pasukan ambulan dan Bomba, bukannya mementingkan keselamatannya sendiri.