[VIDEO] Kos naik taraf rumput padang stadium Bukit Jalil, Peja tuduh TMJ salah faham
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim salah tafsir dakwaan bahawa dana RM10 juta diperlukan untuk menaik taraf padang bola di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Sebaliknya beliau berkata, anggaran kos itu adalah untuk menaik taraf padang di beberapa stadium utama negara, termasuk SNBJ.
“Ia disalah tafsir, memang saya ada berjumpa dengan Tunku Mahkota Johor baru-baru ini berbincang pelbagai perkara, termasuk untuk memperbaiki padang di seluruh negara, bukan untuk stadium di Bukit Jalil sahaja.
“Malah, selepas perjumpaan itu, beliau ingatkan saya lagi untuk naik taraf padang di seluruh Malaysia, banyak padang yang perlu diperbaiki,” katanya selepas menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia.
Faizal yang menggalas portfolio menteri belia dan sukan bermula 27 Ogos lalu berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk menaik taraf kemudahan sukan sedia ada, termasuk kualiti padang bola sepak.
“Ketika ini, kita sedang bercakap dengan beberapa pihak untuk melaksanakan tanaman rumput secara hibrid, selain mendapatkan pandangan beberapa pihak yang lebih arif mengenai perkara berkenaan.”
Menerusi rancangan Bola@Mamak malam tadi, Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memerlukan RM10 juta untuk padang baharu di SNBJ.
Menyifatkan kos itu tidak masuk akal, Tunku Ismail menjelaskan beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang dilengkapi sistem perpaipan, tanah dan sebagainya.
“Saya berbual dengan menteri KBS baru-baru ini dan tanya berapa kos saya buat padang. Dia terperanjat apabila saya cerita kos padang kerana dia dapat tawaran buat padang baharu di Bukit Jalil yang sama seperti ini, RM10 juta. Banyak sangat orang nak ‘mark up’.
“Saya buat RM1.4 juta saja. Saya pakai Zoysia. Kos dia tetap sama…paling mahal pun RM1.5 juta, takkan ada lebih mahal daripada itu. Kenapa jadi sampai RM10 juta?
“Untuk kos penyelenggaraan pun, tidak lebih RM300,000 setahun. Kalau ada orang nak selenggara padang perlukan berjuta-juta, itu cerita dongeng,” katanya dipetik Berita Harian.
Menyentuh isu padang di SNBJ, Faizal berkata, rekaan stadium yang dibina untuk Sukan Komanwel 1998 itu pada dasarnya menakjubkan, namun terdapat beberapa perkara yang “terlupa diambil kira”, antaranya kedudukan bumbung dan rumput.
“Kedudukan bumbung yang menutup sedikit rumput menyebabkan beberapa jenis rumput tidak dapat tumbuh dengan baik…ini antara laporan awal yang saya dapat.
“Saya sedang dapatkan nasihat yang wajar daripada pelbagai pihak, sekiranya ‘okey’,FMT saya akan teruskan (tanam rumput hibrid) dan pastikan ia terbaik untuk kita semua,” katanya.
Sumber –