Video lama Aliff Aziz mengamuk, buka zip seluar kembali tular

Video lama Aliff Aziz mengamuk, buka zip seluar kembali tular

 

Ketika pendedahan konspirasi menjatuhkan pelakon Bella Astillah hangat diperkatakan, video lama suaminya, Aliff Aziz yang pernah berkelakuan tidak senonoh di Singapura lima tahun kembali tular.

Ibarat menyelak diari lama, perkongsian netizen berupa video berdurasi sekitar seminit yang menunjukkan pelakon dan penyanyi itu mengamuk terhadap seseorang sekali lagi meraih perhatian.

“Kalian tengoklah apa Aliff Aziz pernah buat. Terlampau menjijikkan. Sesuai dengan Ruhainies. Dua-dua sampah,” tulis pemilik akaun X yang memuat naik ciapan tersebut.

Potongan video aktor yang dirakamkan rakannya sendiri di sebuah restoran jelas memperlihatkannya mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam video berkenaan, pemilik nama sebenar Mohammad Aliff Aziz berang selain membuat tindakan di luar jangkaan apabila membuka zip seolah-olah mahu mengeluarkan alat sulitnya.

Aktor yang memakai baju berwarna hitam itu juga cuba ditenangkan seorang individu selepas dia tidak dapat mengawal kemarahan sekali gus bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan melemparkan kerusi.

Menerusi komen, ramai menempelak sikap penyanyi lagu Sayang Sayang itu yang dikatakan tidak berubah biarpun insiden berkenaan sudah bertahun-tahun berlalu.

Terdahulu, konflik rumah tangganya dengan Bella semakin meruncing selepas dia ditangkap khalwat dengan pelakon Ruhainies pada 9 Mac lalu.

Kemelut hubungan dengan isterinya bertambah tegang selepas muncul seorang individu bernama Sarah Yasmine yang memperincikan satu per satu bukti diperoleh dalam telefon Aliff.

Sejak Isnin lalu, wanita berusia 24 tahun itu menyelak rahsia Aliff dan Ruhainies termasuk dakwaan kedua-dua mereka bercinta serta aktres tersebut dikatakan menggunakan lelaki terbabit untuk menjatuhkan Bella.

Pendedahan dibuat ibu tunggal dua anak itu juga melibatkan lebih ramai selebriti termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong serta pasangan suami isteri, Tom dan Fuad Rahman.

Pagi tadi, Ruhainies tampil membuat permohonan maaf kepada Bella dan Sarah serta sedia bersemuka dengan mereka tetapi Sarah menolak hasrat tersebut.