[Video] Lelaki berkopiah curi beg dalam masjid diburu polis

[Video] Lelaki berkopiah curi beg dalam masjid diburu polis

Polis memburu seorang lelaki yang mencuri beg silang milik seorang jemaah semasa sedang menunaikan solat zuhur di Masjid Muhammadi di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut pada pukul 2.50 petang pada hari yang sama selepas kira-kira sejam 20 minit kejadian berlaku.

Menurutnya, mangsa menunaikan solat di Masjid Muhammadi di sini dan meletakkan beg silang miliknya di bahagian kaki sebelum mendapati barangan tersebut hilang.

“Pemeriksaan menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang lelaki telah mengambil beg silang itu semasa mangsa sedang sujud dan melarikan diri.

“Suspek disyaki berusia dalam lingkungan 30-an dan memakai seluar panjang berwarna hitam, baju kemeja warna putih dan berkopiah putih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Menurutnya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sarjan Mohd. Hafiz Muhammad Khila di talian 013-952 9828 atau 09-775 2200.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, tular satu klip video CCTV di sebuah masjid yang memaparkan seorang lelaki mencuri beg jemaah lain ketika menunaikan solat di Masjid Muhammadi di sini.

Video itu menunjukkan seorang jemaah lelaki bangun selepas menunaikan solat lalu mencapai beg jemaah lain yang diletakkan di tiang.