[VIDEO] Maut kemalangan selepas tumbuk polis, conteng pagar istana
Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit di sini sebelum menumbuk seorang anggota polis wanita pada petang tadi maut dalam kemalangan di Bedong, Sungai Petani dekat sini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai terlibat dalam kejadian khianat dengan menconteng dinding tembok istana tersebut kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Suspek terus melarikan diri selepas kejadian dan siasatan mendapati suspek menconteng bahagian tembok dinding tembok itu dengan tulisan ‘SAMR’.
Keadaan motosikal suspek selepas terlibat kemalangan setelah dikejar anggota polis malam ini.
“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan motosikal berwarna hitam dan operasi mengesan lelaki terbabit dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, suspek kemudian dipercayai pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis wanita sehingga cedera pada muka di hadapan pondok pengawal kira-kira pukul 5 petang tadi.
Tambahnya, suspek turut membaling sebuah objek disyaki pistol mainan dan melarikan diri sebelum pihak polis menjumpai lelaki itu di kawasan Gurun dekat sini.
“Suspek bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun motosikal ditunggang laju oleh suspek telah terbabas di kawasan Bedong dan suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Sumber – K! ONLINE