[VIDEO] Muhyiddin masih belum tunjuk kemampuan tangani masalah negara, kata Tun M
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat masih belum menunjukkan kemampunan untuk menangani masalah negara biarpun susulan pengisytiharan darurat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, proklamasi darurat yang diisytiharkan itu memberikan kuasa yang besar kepada Perdana menteri selain menghentikan politiking.
Bagaimanapun, dari satu aspek lain, bekas Perdana Menteri itu berkata, pengisytiharan darurat itu merupakan satu langkah kediktatoran.
“Darurat digunakan untuk menghapuskan demokrasi untuk memberi Muhyiddin kuasa penuh tanpa pendapat orang lain. Beliau tidak melakukan banyak perkara untuk memerintah negara.
“Ekonomi negara memburuk. Masyarakat menderita daripada langkah yang diambil. PKP ini bermaksud ramai yang tidak mempunyai pendapatan dan makanan,” kata Dr Mahathir dalam satu temu bual dalam rancangan radio Breakfast Grille BFM pada Jumaat.
Katanya, demokrasi dikorbankan demi memberikan Muhyiddin kuasa penuh untuk melakukan apa sahaja yang diingini.
“Kami bukan lagi negara yang berdemokratik. Kami mengorbankan demokrasi demi memberikan Muhyiddin kuasa penuh untuk melakukan apa-apa sahaja yang diingini.
“Sebagai contoh, parti saya tidak akan didaftarkan. Kami tidak boleh mempersoalkan kerana tiada cara untuk kami buat rayuan. Dari segi itu, Muhyiddin seorang diktator,” katanya.
Pada 7 Januari, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerusi satu surat yang dikeluarkan.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata peruntukan yang lebih besar diperlukan bagi menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Katanya, ia kerana hospital kini sudah penuh dan tidak mampu menampung pesakit lagi.
“Peruntukan untuk menangani wabak COVID-19 sekarang sangat kecil.
“Kami memerlukan satu peruntukan yang lebih besar. Kami memerlukan lebih banyak hospital kerana dikatakan hospital kini sudah penuh.
“Di England, mereka dapat membina sebuah hospital dalam sembilan hari dan ia boleh menampung 4,000 pesakit,” katanya.
Berita penuh: https://www.astroawani.com/berita-politik/muhyiddin-belum-tunjuk-kemampuan-teraju-negara-tun-m-277927