[VIDEO] PDRM diharap guna budi bicara benar rentas negeri ketika PKP

[VIDEO] PDRM diharap guna budi bicara benar rentas negeri ketika PKP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharap menggunakan budi bicara terhadap penduduk terpaksa merentas negeri untuk mendapatkan barangan keperluan harian berikutan lokasi dituju adalah yang terdekat dengan kediaman mereka, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebagai contoh penduduk di kawasan Hulu Bernam, Selangor, hanya perlu menempuh perjalanan sejauh tiga kilometer (km) untuk membeli barangan keperluan harian di Bandar Muallim (Tanjung Malim), Perak.

Beliau berkata, ia berbanding jarak perjalanan hingga 30km untuk mereka ke bandar Kuala Kubu Bahru atau 60km lagi ke Rawang.

Katanya, perkara itu dikesan banyak berlaku bukan hanya di kawasan sempadan Selangor tetapi juga Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Rentas negeri memang tidak dibenarkan, namun saya berharap pihak polis memberi pertimbangan sewajarnya dalam kes seperti ini kerana adalah munasabah untuk membeli barangan keperluan di kawasan lebih dekat.

“Saya berharap polis menggunakan budi bicara dalam memberi kebenaran berhubung perkara sebegini kerana lebih baik pergi membeli barang keperluan di tempat lebih dekat,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa aktiviti merentas negeri tidak menyumbang kepada kenaikan kes COVID-19.

Beliau menjelaskan, larangan merentas negeri ditetapkan bagi mengelak berlaku penularan, lebih-lebih lagi wujud kluster berkait aktiviti balik kampung apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk merentas negeri.

Ismail Sabri sekali gus menegaskan, PDRM juga tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak kira di bandar mahupun kampung. – BH