[VIDEO] Pembantu Idris dakwa tindakan bosnya hina suami wartawan wajar

[VIDEO] Pembantu Idris dakwa tindakan bosnya hina suami wartawan wajar

Negara sekali lagi dikejutkan tindakan memalukan dilakukan oleh Menteri Agama terhadap seorang wartawan wanita ketika ditemuramah semalam.

Wartawan wanita dari portal akhbar FMT itu dikenali dengan nama Minderjeet mendakwa dimalukan Menteri Agama dan rakannya, Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika bertanyakan soalan berkaitan isu pengharaman judi di Kedah seperti diumunkan MB, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kelmarin.

Ketika menjawab soalan wartawan tersebut, Idris secara sengaja telah melakukan serangan peribadi terhadap Minderjeet apabila nama suaminya telah dikaitkan Idris bagi menyokong tindakan pengharaman judi kerajaan Pas Kedah itu.

Namun tindakan Menteri Agama tersebut disokong oleh seorang pembantunya yang menuduh wartawan cuba memburukkan PAS selepas menteri itu didesak untuk menjawab soalan berkaitan larangan judi di Kedah.

Ia susulan laporan Free Malaysia Today (FMT) yang menyiarkan artikel berhubung reaksi Idris dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim “berkonfrontasi” dengan wartawan media itu petang semalam, lapor portal akhbar Malaysiakini.

Menerusi Facebook, Khairul Nadzir Helmi Azhar, yang juga ketua penerangan Pemuda PAS berkata, ketuanya dilontarkan dengan soalan ‘provokasi’ sebagai usaha untuk menjadikan parti Islam itu kelihatan buruk di mata masyarakat bukan Islam.

“Apa yang mengejutkannya ialah apabila Idris mengajukan soalan provokatif (soalan yang terlalu sentap), sebagai tindak balas terhadap desakan berterusannya sehingga menunjukkan PAS dalam pandangan buruk di kalangan rakan bukan Islam,” katanya.

“(Soalannya:) ”Adakah anda bersetuju jika suami anda menjadi kaki judi?,” kata Nadzir.

“Persoalan itu dijawab dengan soalan selepas menteri dengan sopan menjawab judi bukan amalan mana-mana agama apatah lagi budaya,” katanya.

“Dia kelihatan kecewa kerana suaminya dijadikan contoh, sedangkan inilah hakikat sebenar bahawa perjudian telah merosakkan banyak institusi keluarga,” tambahnya lagi.

Dia berkata soalan provokasi yang diajukan oleh ketuanya itu adalah wajar kerana wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa apabila suami menjadi kaki judi.

“(Ini)…. adalah gambaran bagaimana seorang pemimpin perlu menyelamatkan semua keluarga di Malaysia supaya mereka menjauhi perjudian di bawah kuasa yang mereka ada,” katanya.

Nadzir mempersoalkan cara bosnya didekati wartawan ketika ketika menteri berkenaan bergegas untuk pulang, namun ia amalan biasa bagi pengamal media apabila mereka mempunyai soalan untuk diajukan pemimpin yang berkaitan.

“Wartawan FMT (pertama) mengejutkan menteri yang bergegas pulang selepas (menghadiri) majlis manifesto PN semalam.

“Tanpa memperkenalkan diri, dia hanya ‘menuduh’ sekiranya penutupan kedai judi dan arak akan menjejaskan hak orang bukan Islam di Malaysia,” katanya.

“Di sebelah Idris, Awang menegur sikapnya dan memintanya bercakap dalam Bahasa Malaysia,” katanya.

FMT melaporkan bahawa wartawan itu pada mulanya mendekati Idris untuk mengulas keputusan kerajaan negeri Kedah, yang mendakwa semua pihak termasuk orang Islam dan bukan Islam, menentang judi.

Ketika ditanya soalan berkenaan, Idris berkata dasar pengharaman perjudian telah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, sambil menambah ia diterima baik oleh bukan Islam di dua negeri Pantai Timur itu.

Wartawan itu kemudian bertanya tentang kemungkinan kebimbangan mengenai dasar sedemikian diperluaskan ke negeri lain, yang mana Awang menegur wartawan itu.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan lesen perniagaan kedai judi di negeri itu tidak akan diperbaharui oleh kerajaan tempatan.

‘Peranan media penting’

Sementara itu bekas ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff mengkritik sikap pemimpin PAS yang tidak menghormati tugas wartawan.

Katanya, menjadi tanggungjawab wartawan untuk bertanyakan soalan yang mempunyai kepentingan awam.

“Pihak kerajaan sepatutnya mengambil peluang tersebut untuk memberi penjelasan dan bukan melakukan intimidasi terhadap wartawan yang melakukan tugasan mereka.

“Peranan media di dalam sistem demokrasi adalah sama penting dan tidak keterlaluan saya katakan menjadi lebih penting di dalam sebuah negara yang semi autoritarian seperti Malaysia.

“Sikap yang ditunjukkan oleh menteri dan timbalan menteri tersebut menggambarkan sikap angkuh dan intimidasi terhadap media. Saya menggesa menteri dan timbalan Menteri berkenaan memohon maaf kepada wartawan berkenaan segera,” kata Yusmadi dalam satu kenyataan.