[Video] Tak cukup duit tambang, warga emas sanggup jalan kaki demi rindu anak & cucu

[Video] Tak cukup duit tambang, warga emas sanggup jalan kaki demi rindu anak & cucu

Musim perayaan ini, ziarah-menziarahi merupakan salah satu perkara yang sering dilakukan dan itulah cara ahli keluarga mengeratkan silaturrahim.

Pun begitu, baru-baru ini tular sebuah video di Indonesia yang memaparkan pasangan suami isteri warga emas dilihat berjalan di bahu jalan sebelum ditahan oleh seorang anggota polis.

Pasangan warga emas itu berjalan di sepanjang lebuh raya berdekatan tol Cisumdawu, difahamkan kedua-dua mereka ini dalam perjalanan ke Rancakalong untuk menziarahi anak dan cucu mereka.

 

 

Menurut laporan Polis (POLRES) Sumedang, kedua-dua mereka memutuskan untuk berjalan kaki dari rumah mereka di Jatihurip, Sumedang Utara kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar pengangkutan awam.

Apabila ditanya oleh pihak polis, nenek itu memberitahu dia dan suami sangat merindui cucu mereka, lebih-lebih lagi ketika hari raya ini dan itu memaksa mereka mencari jalan untuk bertemu dengan keluarganya walaupun tidak mempunyai bekalan wang yang mencukupi.

Pegawai polis yang bertugas di Pos Bersepadu Polis Sumedang itu kemudian menghampiri mereka berdua dan mengarahkan mereka berehat dahulu sebelum mengiringi mereka ke hentian pengangkutan awam untuk ke Rancakalong.

Ketika artikel ini ditulis, terdapat update dalam posting berkenaan yang memberitahu pasangan warga emas itu telah bersatu dengan keluarga mereka.

Difahamkan, kedua-dua mereka itu mempunyai masalah ingatan dan pihak keluarga menyatakan mereka telah menziarahi mereka berdua pada hari raya, tetapi entah kenapa beberapa hari kemudian pasangan itu mengambil keputusan untuk pulang ke rumah anak dan cucu di Rancakalong.