Wajah terkini kanak-kanak iklan Petronas selepas 16 tahun, Ummi dan Tan Hong Ming
Iklan-iklan hasil karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad memang punya mesej yang padat!
Pasti ramai yang masih mengingati iklan kemerdekaan popular dengan penuh makna tersirat antaranya iklan kempen kemerdekaan ke-50 yang mengisi slot iklan Petronas pada tahun 2007.
Walau iklan tersebut hanya berdurasi 33 saat, namun iklan yang bertajuk ‘Tan Hong Ming Dilamun Cinta’ itu nyata meninggalkan impak yang besar.
Hasil sentuhan magis Yasmin Ahmad ini membuatkan seluruh rakyat Malaysia tersentuh hati dan tersenyum melihat aksi kecomelan dua teraju utamanya, Tang Hong Ming dan juga Ummi Khazriena.
Malah, iklan ini menyaksikan Tan Hong Ming dengan penuh keikhlasan, naif dan selamba menceritakan kisah cinta pertamanya dengan rakan sekelas Ummi Khazriena Skhrudin, dilihat berjaya menyampaikan mesej keharmonian kaum kalangan rakyat Malaysia sehingga kini.
Selepas 16 tahun, kini mereka berdua disatu dan dipertemukan kembali menerusi iklan Merdeka yang diterbitkan oleh pengeluar jersi sukan dan gaya hidup terkemuka yang berpengkalan di Pulau Pinang, Lokalteez dan Teamwear.
Di dalam video tersebut, jelas kelihatan keterujaan Ummi Khazriena dan Tan Hong Ming yang dipertemukan semula selepas terputus hubungan. Walaupun timbul sedikit kejanggalan berikutan sudah lama tidak bertentang mata, namun kedua-duanya masih lagi erat dan akrab seperti dahulu.
Bila kali terakhir anda berdua berjumpa? “Beberapa tahun lepas, pada tahun 2016 untuk satu iklan tidak silap, dah lama dah.” Jelas Ummi. Selepas itu apa yang terjadi? Ujar Tan Hong Ming, “Kami berdua terus terputus hubungan, mungkin kedua-duanya sibuk dengan kehidupan masing-masing”.
Ummi yang kini bertugas sebagai seorang eksekutif dan Tan Hong Ming pula baru saja menamatkan pengajian dalam bidang psikologi dari Sunway University sempat mengimbas kenangan bekerja di bawah arahan pengarah tersohor, Yasmin Ahmad.
Apakah pendapat Tan Hong Ming tentang arwah Yasmin Ahmad? “Arwah Yasmin Ahmad berjaya menyerlahkan rasa muhibah dalam karyanya. Dan saya rasa itulah kualiti terbaik yang ada pada Yasmin Ahmad. “Dia seorang yang berbakat besar, malah Yasmin mampu keluarkan rasa dan jiwa dalam karyanya. Bagi Ummi, dia adalah seorang dalam sejuta”, ulas Ummi pula.