Wajarkah Perdana Menteri mengislamkan saudara baharu? Baca apa kata bekas mufti WP
TINDAKANPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka mengislamkan seorang saudara baharu pada 18 Ogos lalu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Dalam satu acara dijalankan di Masjid Ar-Rahimiah, Klang, Selangor pada 18 Ogos lalu, Anwar dilihat mengajar ucapan kalimah syahadah kepada seorang lelaki kaum India yang baru memeluk Islam.
Rakaman acara pengislaman tersebut yang turut tular di sosial media menimbulkan perdebatan di sosial media dengan terdapat segelintir pihak mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut.
Ini kerana, menurut mereka, sebagai Perdana Menteri, Anwar seharusnya lebih sensitif terhadap sentimen rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Untuk rekod, media melaporkan bahawa keberadaan Anwar di majlis itu adalah secara kebetulan memandangkan pada waktu itu, beliau hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Di sebalik kritikan diterima, terdapat pelbagai pihak turut tampil mempertahankan tindakan berkenaan.
Terbaharu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hak mengislamkan saudara baharu adalah hak untuk mana-mana individu yang beragama Islam termasuk Perdana Menteri.
Hak mengislamkan saudara baharu adalah hak mana-mana Muslim, termasuk YAB Perdana Menteri. Ia juga biasa dilakukan beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Pengislaman itu sah di sisi syarak, dan tidak bercanggah dengan perlembagaan, apatah lagi akta atau enakmen berkaitan. Saya… https://t.co/yooqnQtxcm
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) August 24, 2023