“Walak pada keputusan parti” – Tuan Ibrahim bagi amaran pada ahli Pas jangan lawan keputusan parti

“Walak pada keputusan parti” – Tuan Ibrahim bagi amaran pada ahli Pas jangan lawan keputusan parti

 

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli parti itu jangan sesekali bertindak menentang keputusan parti kerana senarai calon yang dipilih bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan adalah muktamad.

Beliau menggesa ahli PAS memastikan disiplin parti menjelang PRN 12 Ogos depan dan menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik bagi memastikan kemenangan calon PN.

“Presiden telah mengingatkan agar semua patuh dan wala kepada keputusan parti, sama ada dicalonkan atau sebaliknya. jangan sesekali bertindak menentang keputusan parti samada memberi sokongan kepada lawan atau bertindak menjadi calon bebas.

“Parti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin demi memastikan PN mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, kerusi DUN Bayan Lepas dilapor menjadi rebutan antara PAS dan Gerakan.

Pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Pulau Pinang semalam, calon bagi DUN terbabit tidak diumumkan susulan bantahan dari ahli PAS di Bayan Lepas yang menuntut calon parti itu dinamakan di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau akan mewakili gabungan itu bagi kerusi DUN Bayan Lepas dan keputusan dibuat Majlis Presiden PN.