Walaupun dimadukan, lelaki ini tetap tidak akan ceraikan isteri kedua
Mahkamah Rendah Syariah hari ini memutuskan seorang suami yang mendakwa ‘dimadukan’ isterinya masih kekal sebagai suami isteri.
Hakim Ahmad Hariri Mohd Saat membuat keputusan itu selepas Rahaman Mohamed Jaafar, 47, membuat sumpah penafian bahawa beliau tidak pernah menceraikan isterinya dengan talak tiga sebagaimana yang didakwa.
“Menerusi lafaz sumpah defendan, maka defendan dan plaintif masih kekal sebagai suami isteri melainkan ada bukti baharu yang dikemukakan plaintif,” kata Ahmad Hariri ketika membacakan keputusan lafaz cerai antara Rahaman dan Wan Nor ShakirinWan Abdul Razak, 32.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan permohonan cerai yang difailkan oleh Wan Nor Shakirin.
Rahaman ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah yang memutuskan dia dan isteri keduanya itu masih kekal sebagai suami isteri.
“Alhamdulillah saya berani bersumpah kerana saya tidak pernah melafazkan cerai talak tiga sebagaimana yang didakwa isteri.
“Apa yang boleh saya katakan, hingga kini saya masih sayangkan isteri kedua saya dengan apa yang dia lakukan terhadap saya sehingga berkahwin dengan lelaki lain.
“Walaupun isteri ada memfailkan cerai, saya tidak akan melepaskannya kerana sayang saya terhadapnya masih kuat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, tindakan seorang wanita yang ‘memadukan’ suami terbongkar selepas perkahwinan kedua wanita terbabit diketahui oleh suami pertama.
Rahaman mendedahkan, dia berkahwin dengan isterinya yang berusia 32 tahun pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand sebelum isterinya menghilangkan diri dari rumah Januari tahun ini.
Katanya, perkahwinan mereka disahkan cukup syarat mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
Bagaimanapun katanya, beliau terkejut apabila mengetahui isterinya berkahwin dengan lelaki lain pada April lalu dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami pertamanya iaitu sebelum berkahwin dengan Rahaman.
Sementara itu, peguam mewakili Rahaman, Marzuqi Muhamad, berkata mahkamah hari ini sudah memutuskan anak guamnya masih suami isteri dan menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh sebutan permohonan cerai yang difailkan oleh plaintif.
“Keputusan Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah hari ini akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu bagi membuat keputusan lanjut memandangkan perkahwinan plaintif dengan suami keduanya difaraqkan sementara sebelum ini,” katanya.