Walaupun tewas dengan Guinea, Indonesia masih berpeluang dapat tiket automatik ke Olimpik

Walaupun tewas dengan Guinea, Indonesia masih berpeluang dapat tiket automatik ke Olimpik

 

Indonesia berpotensi mendapat peluang layak beraksi dalam acara bola sepak Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Sebelumnya, Tim Garuda terpaksa menelan kepahitan apabila pasukan itu tewas 1-0 kepada Guinea dalam aksi play-off penentuan slot kelayakan ke Sukan Olimpik beberapa minggu lalu.

Kini, portal sukan Korea, Sports Chosun melaporkan Indonesia masih berpeluang untuk layak. Perkara ini timbul selepas Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) membangkitkan usul menggantung keahlian Israel daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Usul yang dibuat PFA ini dinyatakan dalam Kongres FIFA yang diadakan di Bangkok, Thailand baru-baru ini. Usul ini turut mendapat sokongan negara-negara ahli Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Usul PFA ini dibuat sebagai reaksi ke atas apa yang berlaku di Semenanjung Gaza ketika ini. Konflik terbaru Israel-Palestin ini menyaksikan lebih 30,000 orang terbunuh termasuk 250 pemain bola sepak Palestin.

Walau bagaimanapun, usul yang dibawa PFA ditentang keras Presiden Persatuan Bola Sepak Israel (IFA), Moshe Zuares kerana dilihat menggugat bola sepak negara itu.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua badan induk tersebut, Presiden FIFA, Gianni Infantino memaklumkan keputusan menggantung Israel hanya boleh dibuat menerusi Majlis FIFA.

Atas sebab itu, Majlis FIFA bakal mengadakan mesyuarat luar biasa pada 20 Julai ini bagi menentukan status IFA. Seandainya IFA digantung, ini akan menjejaskan peluang Israel bertanding di Sukan Olimpik kerana pasukan itu layak ke temasya berprestij itu.

Ini akan membuka ruang kepada Indonesia untuk menjadi pasukan Asia Tenggara pertama bersaing di Sukan Olimpik sejak edisi 1980.

Kali terakhir wakil Asia Tenggara beraksi di Olimpik ialah Harimau Malaya untuk Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak menyertai temasya itu sebagai bantahan terhadap tindakan Rusia menceroboh Afghanistan pada tahun berkenaan.