Wan Ji dedah sebenarnya konsep rahmah bukan Mahathir yang perkenalkan tapi Mujahid
Polemik mengenai siapa yang lebih dahulu memperkenalkan konsep rahmah di Malaysia terus diperdebatkan.
Seorang pendakwah bebas Wan Ji Wan Husin tampil dengan pendapat bahawa konsep itu bukan idea asli bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mahupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya konsep berkenaan diketengahkan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) dan Naib Presidennya Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Ia dijadikan sebagai konsep dalam kerajaan pimpinan Dr. Mahathir yang didalamnya turut dianggotai Mujahid sebagai menteri agama.
“Ketika slogan rahmat sekelian alam diperkenalkan, Dr Mahathir masih lagi sibuk bergaduh dengan Najib dan masih belum menerima Pakatan Harapan sebagai rakan politik.
“Apabila terbentuk kerajaan Pakatan Harapan yang mana Dr Mahathir diangkat sebagai perdana menteri, tidak mudah juga untuk Mujahid mengangkat konsep Rahmah.
“Sebabnya, pada peringkat awal, Mahathir dikatakan kurang selesa dengan konsep tersebut. Namun, usaha Mujahid daripada parti Amanah berjaya membawa konsep itu sehingga menjadi dasar rasmi negara,” kata beliau dalam ruangan pendapat yang disiarkan di Malaysiakini.
Sebelum ini Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim mendakwa konsep ‘Rahmah’ yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan merupakan idea Mahathir.
Menurut beliau, konsep dan perkataan ‘Rahmah’ telah dan sedang digambarkan sebagai idea Anwar di bawah konsep Madani sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.
Mahdzir berkata, konsep Rahmah diperkenalkan Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020.
“Mengenai ucapan perasmian Tilawah & Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020, Dr Mahathir hanya baca teks yang ditulis oleh pihak Mujahid, bukan secara aslinya daripada perdana menteri,” jelas Wan Ji.
Katanya, tema rahmah ini berjaya diperkenalkan oleh Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup dalam Kabinet Anwar.
Konsep itu bagi menyantuni rakyat yang kurang berkemampuan pada era Kerajaan Perpaduan.
“Lebih menarik, jika konsep madani menjadikan kemanusiaan sebagai tonggak, makanya pendekatan Rahmah pula dilihat sebagai penyempurnanya,” kata beliau.