Wan Maimunah akui terlalu kecewa, hanya dapat RM200 jayakan telefilem
Pelakon veteran berbakat besar, Wan Maimunah meluahkan rasa terlalu kecewa dengan sebilangan besar syarikat produksi yang sering menindas selebriti lama dengan memberikan bayaran rendah kepada mereka.
Dapat bayaran RM200 sahaja
Aktres berusia 65 tahun yang cukup terkenal dengan linangan air mata mendedahkan dirinya ditawarkan sebanyak RM200 bagi menjayakan sebuah telefilem yang diterbitkan oleh syarikat produksi swasta di negara ini.
Wan Maimunah berkata, tawaran yang diterimanya itu seolah-olah merendahkan bakat lakonannya yang sudah menjayakan puluhan naskah sejak mula terbabit dalam industri seni pada 1972.
“Benda ini sudah lama berlaku, puluhan tahun masalah sama berulang. Selalunya bukan salah syarikat produksi tetapi pengurus syarikat yang mencaras soal bayaran.
“Telefilem itu tahun lepas sehingga menyebabkan saya bukan setakat kecewa, tetapi hati ini sudah hancur luluh. Ibarat kaca sudah pecah, bila dicantumkan retaknya masih kelihatan,” luahnya.
Disebabkan itulah, pelakon telefilem Quran Buruk itu lebih sanggup menerima tawaran daripada syarikat produksi baharu kerana bayaran yang ditawarkan oleh mereka jauh lebih baik berbanding syarikat produksi lama.
“Sebab itu saya lebih rela berlakon filem pendek dengan budak-budak baharu yang jujur dan berterus-terang dengan bajet yang mereka ada.
“Kadang-kadang syarikat produksi lama ini bagi alasan stesen televisyen pilih pelakon dan kononnya penonton tak nak tonton lagi artis-artis lama. Sudahlah, saya cukup penat dengan isu ini,” luahnya lagi.
Sementara itu, pemilik nama Wan Maimunah Wan Abdul Aziz memberitahu dia juga hanya akan mengambil tawaran berlakon dengan pengarah yang paling dipercayai seperti Rashid Sibir dan mereka yang tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sepanjang bekerjasama.
“Drama paling terkini pun saya buat dengan Rashid Sibir atas dasar percaya ketika bekerja. Sebab saya sudah bekerjasama sejak zaman dia baru bergraduasi dari universiti puluhan tahun lalu,” katanya.