Wan Maimunah ‘meraung’ dapat panggilan haji, tak sangka doa 2 tahun lalu dimakbulkan Allah

Wan Maimunah ‘meraung’ dapat panggilan haji, tak sangka doa 2 tahun lalu dimakbulkan Allah

 

“Bila diberitahu saya terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini, saya meraung.”

Itu reaksi pelakon veteran, Wan Maimunah selepas dimaklumkan Lembaga Tabung Haji mengenai perkhabaran gembira sebelum Ramadan lalu.

Dalam linangan air mata, Wan Maimunah atau nama sebenarnya, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 70, berkata reaksi spontan itu kerana tidak percaya akan menjadi tetamu Allah dalam tempoh secepat itu.

Namun, pelakon yang lebih mesra disapa ibu itu meluahkan rasa syukur kerana doanya ketika mengerjakan umrah dua tahun lalu dimakbulkan Tuhan.

“Allah itu maha pengasih dan penyayang. Pada Disember 2022, saya tunaikan umrah dan saya akui, memang tak puas.

“Saya tak puas nak duduk depan Kaabah dari jam 9 pagi hingga sebelum solat Zohor dan menyebabkan saya terpaksa menolak melakukan aktiviti ziarah.

“Di depan Baitullah, saya mengadu pada Allah yang tak puas kerana hanya berkesempatan membuat umrah wajib sahaja.

“Tak sempat nak buat tawaf sunat dan beriktikaf lama dalam masjid. Malah, saya juga lebih banyak solat dalam bilik. Hanya Allah sahaja yang tahu mengapa dan saya tak nak dedahkan.

“Saya bukanlah insan yang sempurna, bahkan juga seorang pendosa. Namun saya mohon kepada-Nya sebelum nyawa diambil, saya harap diberi peluang menyempurnakan rukun Islam kelima.

“Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan dan saya masih tak percaya akan berangkat ke Makkah dalam tempoh secepat ini,” katanya ditemui pada majlis Tausiyah Ilmiah dan kenduri doa selamat di Kampung Batu Muda.

Majlis diadakan di kediaman anak angkat bintang air mata itu iaitu Datuk Seri Kamaruzzaman Mohd Nor dan isteri, Datin Seri Zuhaila Razali yang turut menyaksikan kehadiran pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali Ustaz Kazim Elias untuk menyampaikan tazkirah kepada tetamu yang hadir.

Antara rakan artis turut meraikan majlis termasuklah adalah Shaharuddin Thamby, Mubarak Majid, Anne Abdullah, Amran Nasruddin dan anak saudaranya, Wan Sharmila.

Pemenang trofi Artis Komedi Wanita Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak lima kali itu dijangka akan berangkat ke Tanah Suci pada 10 Mei ini.

“Tapi, saya kena berkumpul di hotel pada 9 Mei, barang pun tak sempat kemas lagi.

“Walaupun ke sana berseorangan, tapi saya yakin Allah akan jaga saya. Doakan semoga urusan ibadah haji saya berjalan lancar dan dipermudah semuanya,” ungkapnya.