Wang bantuan awal persekolahan disamun, kerajaan akan ganti semula

Wang bantuan awal persekolahan disamun, kerajaan akan ganti semula

 

Sebelum ini, kami ada melaporkan berita tentang kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM109,000 yang lesap disamun penjenayah selepas dikeluarkan oleh seorang guru besar di Semenyih, Selangor.

Semasa insiden berlaku, guru besar berkenaan dipercayai meninggalkan wang tersebut di dalam kenderaannya untuk keluar membeli air minuman, sebaik sahaja kembali dia mendapati cermin kereta telah dipecahkan selain wang turut dicuri.

Susulan kes tersebut pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan wujudnya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pengambilan wang tunai yang dilakukan oleh guru berkenaan.

Wang akan diganti semula sebelum Mac

Terbaharu, KPM telah memberi jaminan bahawa peruntukkan BAP yang disamun itu akan digantikan kepada pelajar sekolah berkenaan sebelum bermulanya sesi persekolahan Mac nanti.

Mememitik laporan Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan pihaknya ralat berhubung kes tersebut tetapi wang itu tetap akan digantikan semula untuk diberikan kepada pelajar.

Tunggu kelulusan dari MOF

Ujarnya, kementeriannya juga masih menanti kelulusan serta jawapan dari pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung gantian BAP berkenaan.

“Duit yang hilang itu akan diganti semula, jangan risau. Itu hak anak-anak,” jelasnya.

Fadhlina turut memaklumkan bahawa guru besar yang terlibat dalam insiden wang BAP disamun itu akan disiasat mengikut tata tertib penjawat awam.

Jelas Menteri Pendidikan itu, pihaknya telah menyerahkan hal tersebut kepada polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk menjalankan siasatan.

“JPN Selangor sudah pun bertemu dengan guru besar berkenaan dan mereka akan umumkan hasil siasatan itu kemudian,” ujarnya.