Wanita AMANAH desak kerajaan perkasakan komuniti setempat, lapor segera insiden penderaan kanak-kanak

Wanita AMANAH desak kerajaan perkasakan komuniti setempat, lapor segera insiden penderaan kanak-kanak

1. Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional merujuk laporan menggemparkan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya di Melaka.

2. Sementara siasatan polis dan proses undang-undang masih dijalankan bagi kes ini, kami menzahirkan kekesalan akan insiden ngeri ini yang merupakan manifestasi kepincangan institusi keluarga dan kegagalan sistem melindungi anak-anak kita, khususnya fungsi sokongan komuniti dalam mencegah penderaan.

3. Kami mendesak kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertindak segera menggerakkan kempen bersepadu seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa komuniti setempat bagi melaporkan insiden penderaan kanak-kanak dan keganasan di rumah.

4. Tambahan pula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, nombor Talian Kasih 15999, talian-talian bantuan kecemasan dan Balai Polis terdekat harus dihebahkan di semua saluran komunikasi, media dan ruang awam terutamanya yang boleh diakses kanak-kanak, sama ada program kanak-kanak di televisyen, buku sekolah, pek makanan ringan dan media sosial supaya mereka tahu di mana boleh mendapatkan bantuan dan melaporkan segera jika didera.

5. Kami juga menggesa KPWKM memperluaskan kempen mobilisasi komuniti mencegah keganasan dan penderaan seperti Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu yang telah dilancarkan di Selangor dan Pulau Pinang berdasarkan model komuniti selamat, iaitu pendekatan yang holistik dan melibatkan pelbagai sektor dalam penglibatan komuniti dan pencegahan keganasan.

6. Berdasarkan model ini, ahli komuniti harus diperkasakan untuk mengambil tanggungjawab yang lebih daripada hanya sekadar pemerhati. Komuniti setempat termasuk jiran tetangga, persatuan penduduk, kariah masjid dan surau misalnya harus diperkasakan sebagai barisan hadapan mencegah dan melaporkan penderaan kanak-kanak dan keganasan di rumah.

7. Advokasi kepada masyarakat dan komuniti harus ditingkatkan serta diberikan maklumat untuk segera merujuk kes-kes dalam komuniti ke Pusat Sehenti Krisis (OSCC) dan sistem Suspected Child Abuse and Neglect (SCAN) di hospital-hospital kerajaan.

8. Usaha-usaha pemerkasaan komuniti setempat mencegah keganasan ini harus dilancarkan segera tanpa berlengah-lengah lagi di seluruh negara bagi membantu komuniti memahami keganasan dan penderaan, mengenalpasti punca dan faktor-faktor mempengaruhi, memahami betapa kritikal isu penderaan kanak-kanak dan keganasan di rumah serta peka akan persekitaran mereka.

9. Dalam menangani krisis penderaan dan keganasan di rumah khasnya sepanjang tempoh PKP ini, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat wajar diberikan peruntukan tambahan kecemasan untuk menambah program perlindungan kanak-kanak, penyediaan tempat selamat untuk kanak-kanak mangsa dera, kaunseling dan pemulihan untuk mangsa dera.

10. Kerajaan juga wajar dipertanggungjawabkan untuk memperuntukkan dana tambahan kepada JKM serta agensi-agensi berkaitan untuk menambah segera bilangan pelindung kanak-kanak agar nisbah pelindung JKM dengan bilangan kes iaitu 1:80 kes pada masa kini dapat ditingkatkan mencapai piawaian antarabangsa iaitu 1:15 hingga 35 kes.

11. Kami berpandangan tindakan bersepadu kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat di setiap kejiranan dapat memastikan kewujudan komuniti yang selamat bagi melindungi kanak-kanak serta mengelakkan insiden tragis ini daripada berulang.

#AmanahDemiNegara
#AWANNasional
#HormatiWanitaSayangiWanita
#KepimpinanWanitaUntukSemua
#MajuTerus!

*SORAYA SALIM*
Pengerusi Biro KANUN
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN)
Parti Amanah Negara (Amanah)